Berita Utama

Tindakan drastik dikenakan pada MP Kuala Kangsar jika tukar kerusi

Belum bincang tindakan, namun tidaklah sampai hentikan keahlian

BANGI, 1 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Bersatu akan mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan keahlian Ahli Parlimen Kuala Kangsar jika beliau bertukar kerusi dan berada di blok Kerajaan di Dewan Rakyat.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Razali Idris berkata, sehingga kini parti belum membuat keputusan dan penentuan nasib terhadap Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid susulan sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Parti belum membincangkan apa tindakan bakal dikenakan, tetapi tidaklah sampai hentikan keahlian.

“Dia kalau cross the line, itu baru (kena) berhenti. Kalau duduk sebelah kerajaan itu lain. Itu yang kena ambil tindakan.

“Beliau mungkin tidak melanggar undang-undang melompat parti, tetapi ini sudah bercanggah dengan prinsip dan Perlembagaan parti,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan hari ini.

Razali berkata, pihaknya sangat terkilan selepas tindakan Iskandar yang terburu-buru membuat keputusan dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan.

Katanya, alasan yang diberikan oleh Iskandar berhubung isu peruntukan adalah sangat tidak relevan berikutan pemimpin lain juga berdepan perkara sama.

“Tiada ribut tiada hujan, tiba-tiba dikhabarkan beliau ditekan oleh kerajaan dan pihak berkuasa.

“Jika alasan beliau disebabkan peruntukan, pemimpin lain pun berdepan masalah serupa,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain memutuskan untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan alasan isu peruntukan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tidak akan meninggalkan atau mengkhianati partinya dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button