Berita UtamaUtama

Pemuda UMNO Sabah desak Zahid letak jawatan presiden

Ketidaktentuan hala tuju UMNO buat ramai pemimpin, ahli keluar parti

KOTA KINABALU, 5 Rabiulakhir 1440H, Khamis – Pemuda UMNO Sabah mendesak presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi segera meletak jawatan kerana didakwa hilang penguasaan terhadap parti dan tidak lagi dihormati oleh pemimpin dan ahli.

Naib ketuanya, Ghazalie Ansing berkata, sekiranya enggan meletak jawatan secara sukarela, Pemuda UMNO Sabah akan memohon kepada Majlis Tertinggi (MT) parti supaya mendesak Ahmad Zahid berbuat demikian.

“Selain itu, saya juga melihat presiden cuba membuat parti ini sebagai perisai untuk menyelamatkan diri daripada kes yang dihadapi beliau di mahkamah, “katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketidaktentuan presiden dalam mengemudi hala tuju UMNO telah mengakibatkan ramai pemimpin dan ahli keluar keluar meninggalkan parti itu.

Semalam, hampir keseluruhan barisan kepimpinan UMNO Sabah termasuk lima Ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua senator mengumumkan keluar parti dengan alasan UMNO tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

“Kita mahu UMNO dipimpin oleh orang yang selayaknya memimpin parti keramat ini. Presiden sedar akan permasalahan ini dan permasalahan yang dia sendiri bawa,” katanya.

Ghazalie, yang juga Ketua Pemuda UMNO Tawau berkata, walaupun 21 ketua Bahagian UMNO Sabah sudah keluar parti, namun sayap Pemuda UMNO Sabah akan terus berjuang mempertahankan kelangsungan parti itu di Sabah.

Katanya, UMNO adalah parti perjuangan dan telah berjaya membangunkan Sabah sejak dua dekad lalu.

Justeru, beliau menyifatkan kepimpinan yang telah meninggalkan parti itu sebagai pemimpin yang kurang daya tahan sehingga mengalah kepada pelbagai tekanan kerajaan memerintah. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close