Berita UtamaUtama

PAS puji PM tak hadir sambutan Hari Hak Asasi Manusia

Keputusan Tun M selaras penolakan rakyat terhadap ICERD: Tuan Ibrahim

BANGI, 1 Rabiulakhir 1440H, Ahad – Keputusan tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 anjuran Suhakam yang dijadualkan berlangsung hari ini, wajar dipuji dan diikuti pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana ia akan mengurangkan mesej tidak konsisten berhubung pendirian sebenar kerajaan PH mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Malah, katanya, keputusan ini juga selaras dengan kehendak jutaan rakyat yang berhimpun di Kuala Lumpur semalam bagi membantah ratifikasi ICERD demi menjaga keharmonian dan hubungan kaum di negara ini yang telah terjalin lebih 60 tahun.

“PAS menyambut baik keputusan Perdana Menteri untuk tidak menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suhakam atas alasan beliau tidak bersetuju untuk meratifikasi ICERD, manakala Suhakam pula menuntutnya untuk diratifikasikan.

“Diharap selepas ini tiada lagi pimpinan PH yang memberikan gambaran berbeza terhadap ICERD; yang menguatkan persepsi bahawa keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan ICERD hanya bersifat sementara.

“Sesungguhnya hanya mereka yang pelampau dan tidak mengerti dan menghormati budaya serta struktur kepelbagaian Malaysia yang akan bersetuju dengan tuntutan ICERD,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mengingatkan Suhakam untuk menyokong penuh hasrat Perdana Menteri dan rakyat negara ini yang menentang ICERD.

“Bertindak sebaliknya hanya menimbulkan persepsi bahawa Suhakam telah menjadi alat pihak luar yang lebih memperjuangkan tuntutan pihak luar daripada memahami kepentingan negara,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close