Berita Utama

Pemerintahan dominan pribumi hanya boleh dicapai jika parti Melayu sepakat

Orang Melayu serik dengan pentadbiran PH dikuasai DAP, PKR

BANGI, 18 Rejab 1442H, Selasa – Pemerintahan dominan pribumi hanya mampu kekal dan stabil sekiranya tiga parti politik utama Melayu – UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – bergerak dalam satu pasukan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jaringan NGO Sedar (SEDAR) menjangkakan kesatuan tiga parti utama itu dalam satu pasukan dan lambang pada pilihan raya akan datang, berupaya membentuk sebuah kerajaan yang kuat serta stabil.

Ini kerana, hanya dengan memiliki jumlah majoriti kerusi kukuh sahaja boleh menjamin kestabilan politik dan ekonomi di negara ini, kata Timbalan Presiden SEDAR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.

“Sebuah kerajaan yang kuat dengan kedudukan jumlah kerusi majoriti kukuh, diterajui oleh sebuah jajaran politik yang teguh boleh menjamin kestabilan untuk kemakmuran rakyat.

“Walaupun menang pilihan raya tetapi jika majoriti yang tipis dan parti-parti menganggotainya bercakaran dan gagal mencari kesepakatan, kerajaan boleh tumbang bila-bila masa serta pemerintah dominan pribumi berkubur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, sangat mengecewakan jika tiga parti utama Melayu itu gagal mencari kesepakatan, kerana ia memberi peluang kepada parti lawan iaitu Pakatan Harapan (PH) berkuasa semula.

“Adakah itu yang kita mahu? Hakikatnya, orang Melayu rata-rata serik dengan pengalaman 22 bulan di bawah PH yang ditunjangi parti rasis DAP dan PKR yang liberal.

“Apa yang berlaku selama 22 bulan benar-benar membuka mata orang Melayu. Semua penyokong LTTE dibebaskan, kematian Mohd Adib tidak terbela, Lim Guan Eng dibebaskan,” katanya.

Katanya, selama tempoh itu juga, 17,000 penjawat awam dipecat, aset Tabung Haji dipindahkan ke Kementerian Kewangan dan aset Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) serta Khazanah dijual.

“Orang Melayu sama sekali tidak reda melihat DAP kembali berkuas di bumi ini. 

“Oleh itu, SEDAR merayu kepada kepimpinan UMNO, PAS dan Bersatu supaya segera mencari penyelesaian agar satu jajaran politik yang kuat diwujudkan bagi menentang PH (DAP-PKR) pada PRU15.

“Hanya kerajaan pemerintahan dominan pribumi yang kuat mampu menjamin butir-butir kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button