Berita Utama

Waspada beli produk kosmetik

Bahan terlarang diguna, lihat www.npra.gov.my: KP Kesihatan

BANGI, 29 Rabiulawal 1440H, Jumaat – Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati membeli produk kosmetik di pasaran, dan tidak terpedaya dengan iklan yang membuat dakwaan yang tidak munasabah.

Ketua Pengarah Kesihatan (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM sentiasa menjalankan pemantauan berterusan ke atas produk kosmetik yang telah dibatalkan notifikasi di pasaran, termasuk secara dalam talian, dan memaparkan senarai itu di laman rasmi kementerian

“Semua produk kosmetik perlu dinotifikasi kepada KKM sebelum produk itu boleh dikilang, diimport, dibekal atau dijual di pasaran Malaysia.

“Produk kosmetik yang dikesan mengandungi bahan terlarang akan dibatal status notifikasi dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia. Senarai produk akan dipaparkan pada laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, langkah membatalkan notifikasi ke atas produk kosmetik itu dilakukan kerana dikesan mengandungi bahan terlarang, dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual dengan menggunakan nama, label, atau bentuk, warna dan saiz bekas yang sama atau menyerupai dengan produk kosmetik yang telah dibatalkan.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, pihaknya mengambil maklum laporan sebuah akhbar bertajuk ‘Kosmetik Beracun Terus Berleluasa Di Pasaran’, dan telah menjalankan beberapa siri tindakan penguatkuasaan ke atas premis yang disyaki telah melanggar undang-undang di seluruh negara.

“Daripada Januari hingga November 2018, sebanyak 142,777 item produk kosmetik tidak bernotifikasi termasuk kosmetik yang mengandungi racun telah dirampas. Nilai rampasan adalah sebanyak RM 3.4 juta,” katanya.

Noor Hisham berkata, semua premis yang didapati menjual produk kosmetik berkenaan akan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, dan individu atau syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan RM50,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. Sehingga Oktober 2018, sebanyak 280 kes telah didakwa di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM 790,000,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close