Berita Utama

UMNO, PAS syak Himpunan 812 esok bakal disabotaj

Suhakam, DBKL didakwa sengaja cetus provokasi, panik rakyat

KOTA BHARU, 29 Rabiulawal 1440H, Jumaat – Himpunan aman menyatakan kesyukuran penolakan ICERD – Himpunan 812 – esok, mungkin akan disabotaj melalui tindakan terancang bagi mencetus kekacauan, kata UMNO dan PAS.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan senada berkata demikian pada ketika sidang media Ceramah Perdana Praperhimpunan Membantah ICERD, di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Annuar mengesyaki wujud provokasi terancang apabila pada masa sama, Suhakam menganjurkan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018, serentak dengan Himpunan 812 di lokasi berhampiran.

“Bagi saya, ini satu provokasi secara terancang. Peserta mungkin berhimpun di tempat berlainan, tetapi bagaimana jika mereka bertembung kerana menaiki LRT yang sama atau berkonvoi guna jalan yang sama. Kalau ada yang ‘nakal’ dan sengaja mahu memburukkan keadaan, bagaimana?

“Hari Hak Asasi Manusia jatuh pada Isnin, kalau nak kerahkan penjawat awam ke program itu mereka boleh buat pada Isnin, atau buat sahaja pada Ahad, kenapa perlu pada Sabtu juga? Jika berlaku sesuatu, kerajaan kena bertanggungjawab sebab ini angkara mereka,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, timbul persoalan mengenai penganjuran program Suhakam itu, kerana ianya diluluskan pihak berkuasa ketika Himpunan 812 dijadual berlangsung.

Katanya, mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, dua perhimpunan besar tidak boleh diadakan serentak dalam jarak berdekatan.

“Jadi esok ada dua kumpulan berhimpun, satu kumpulan menyokong ratifikasi dan satu lagi menolak,” katanya.

Pada masa sama, Takiyuddin mendedahkan kandungan surat rasmi pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang mengarahkan Menara 1 dan 2 ditutup serta tidak membenarkan semua kakitangannya berada di pejabat pada 8 Disember sebagai mengambil langkah keselamatan.

Katanya, surat itu seolah-olah menggambarkan perhimpunan itu akan mencetuskan keadaan huru-hara sekali gus menimbulkan keresahan dan panik di kalangan masyarakat.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close