Berita Utama

Isu tanah rizab diceroboh gugat kuasa bangsa Melayu

Undang-undang ada tapi lemah bahagian penguatkuasaan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 11 Jamadilakhir 1444H, Rabu – Isu pencerobohan tanah rizab, tukar hak milik kepada bukan Melayu dan pengambilan tanah tanpa diganti semula adalah isu besar kepada kuasa dan bangsa Melayu.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, kerajaan yang memerintah mestilah bertanggungjawab sepenuhnya untuk menangani isu tanah yang sudah berlarutan sejak sekian lama. 

“Jika tidak mampu menyelamatkan kuasa dan bangsa Melayu, apa makna adanya sebuah kerajaan.

“BERJASA melihat, bukan tidak ada undang undang untuk jaga sebarang pencerobohan tanah rizab Melayu, namun malangnya ada kelemahan di pihak berkuasa.

“Lemah melaksanakan penguatkuasaan itu yang menjadikan tanah rizab Melayu terus diceroboh dan ditukar hak milik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan mengheret ke muka pengadilan bagi mereka yang terlibat mesti dilaksanakan.

Berdasarkan apa yang termaktub didalam Perlembagaan, mana-mana tanah rizab Melayu yang telah diambil mestilah diganti semula berdasarkan sifat-sifat dan nilainya. 

Manakala berdasarkan Fatwa Muzakarah Kebangsan pada tahun 2018 juga jelas menyebut bahawa kerajaan semasa wajib menggantikan semula mana-mana tanah rizab Melayu berdasarkan sifat-sifat dan nilainya.

“BERJASA percaya tanah itu bukan hanya harta, malah ia juga adalah kuasa. Ini bermakna ketika berlakunya pencerobohan, mereka telah menceroboh kuasa orang Melayu.

“Sehinggalah berlakunya pertukaran hak milik, maka pengurangan kuasa orang Melayu itu juga terus terjadi,” katanya.

Terdahulu, akhbar Utusan melaporkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah rizab Melayu di Mukim Jaya Baru dan Sitiawan dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah. 

Bagaimanapun, semalam, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak menegaskan tiada penyelewengan dalam isu pindah milik beribu hektar tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu seperti didedahkan akhbar ini.

Pengarahnya, Datuk Mohamad Fariz Mohamad menegaskan, pihaknya akan menyediakan laporan berhubung isu itu kepada kerajaan negeri. 

Beliau turut mengesahkan, pihaknya juga sudah memberi keterangan kepada Jabatan Audit Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button