Berita UtamaUtama

PM minta penganjur Himpunan 812 esok bantu elak kekacauan

Dr Mahathir doakan perhimpunan berjalan lancar tanpa gangguan

BANGI, 29 Rabiulawal 1440H, Jumaat – Kerajaan tidak berhasrat menghalang atau menyukarkan himpunan kesyukuran anti-Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), yang akan berlangsung esok.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun beliau melihat tiada keperluan lagi untuk perhimpunan itu diteruskan, kerajaan tidak akan menghalang untuk ianya diadakan atas dasar mendukung prinsip demokrasi.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada penganjur jika perhimpunan itu diadakan atas dasar kesyukuran berikutan keputusan kerajaan untuk tidak akan meratifikasi ICERD, sebagaimana dinyatakan beberapa pihak sebelum ini.

“Cuma satu sahaja permintaan kerajaan, iaitu penganjur perlu membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain dalam memastikan tidak berlaku kekacauan dan kerosakan ke atas harta benda awam.

“Jika boleh, jangan membuang sampah merata-rata dan jagalah kebersihan. Saya doakan perhimpunan itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Marilah kita bersama-sama meraikan demokrasi di Malaysia,” katanya menerusi sebuah video, hari ini.

Himpunan esok adalah kemuncak daripada beberapa siri perhimpunan aman anjuran Gerakan Pembela UMMAH, gabungan lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara, bagi membantah ratifikasi ICERD.

Bagaimanapun, pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka esok tetap diteruskan, namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close