Berita Utama

Kes luar tabii: Penghakiman tak ambil kira faktor sejarah

Undang-undang Islam wujud di Malaysia sebelum penjajahan

BANGI, 16 Rejab 1442H, Ahad – Penghakiman Mahkaman Persekutuan berhubung Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, tidak mengambil kira faktor sejarah, di mana menyatakan Kanun Keseksaan wujud terlebih dahulu daripada kesalahan liwat diperundangkan.

Meskipun menghormati penghakiman itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, berdasarkan sejarah, Kanun Keseksaan yang diambil dari Kanun Keseksaan India digubal di dalam Negeri-Negeri Bersekutu Melayu pada 1936.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kanun Keseksaan melalui Akta 574 hanya menjadikan kesalahan liwat pada tahun 1989, sedangkan undang-undang Islam telah terlebih dahulu wujud di Malaysia sejak sebelum penjajahan.

“Ini terbukti dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu, Undang-Undang 99 Perak, Undang-Undang Johor dan banyak lagi.

“Oleh itu, mengatakan Kanun Keseksaan wujud lebih awal adalah tersasar dari fakta sejarah. Cuma apa yang berlaku ialah undang-undang Islam tersebut tidak dikodifikasi sebagaimana undang-undang kini.

“Namun ia mempunyai keabsahan dan kuat kuasa yang sama seperti hari ini pada masa tersebut,” katanya.

Menulis dalam Sinar Harian hari ini, Zainul Rijal turut mengulas isu diskriminasi terhadap bukan Islam yang dibangkitkan mahkamah dalam penghakiman pada Khamis lalu.

Menurutnya, hakim berpandangan sekiranya terdapat orang Islam dan bukan Islam yang ditangkap melakukan kesalahan persetubuhan di luar tabii, yang beragama Islam akan dihadapkan di Mahkamah Syariah – hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atu sebatan Syariah sebanyak enam kali.

Manakala, yang bukan Islam pula akan dihadapkan di Mahkamah Sivil pertuduhan di bawah Seksyen 337A yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan, katanya.

“Secara praktikalnya, perkara ini tidak akan berlaku sekiranya penguatkuasa agama yang menjalankan siasatan mereka akan hanya mendakwa yang beragama Islam sahaja dan tidak beragama Islam tidak akan dituduh.

“Manakala, sekiranya pihak polis yang membuat siasatan kesemua yang Islam dan bukan Islam akan dituduh jika kesalahan berlaku. Tidak timbul sebarang diskriminasi terhadap bukan Islam,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang Syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan Perlembagaan aPersekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button