Berita Utama

Bukit Aman siasat dakwaan senarai penerima vaksin MySejahtera dimanipulasi

Sindiket menyamar sebagai ‘orang tengah’ dapatkan slot janji temu dengan bayaran

KUALA LUMPUR, 4 Zulhijjah 1442H, Rabu – Bukit Aman membuka siasatan berhubung dakwaan berlakunya manipulasi terhadap senarai penerima vaksin di aplikasi MySejahtera dan Program Vaksinasi COVID-19 Selangor (SCVP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Persekutuan, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mereka menerima laporan daripada seorang kakitangan di sebuah pusat vaksinasi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Individu itu mendakwa bahawa senarai penerima vaksin melebihi jumlah vaksin yang ada di pusat vaksinasi.

“Kami telah membuka siasatan mengenai pengubahsuaian kandungan komputer, program atau data yang tidak sah yang terdapat dalam komputer tertentu di bawah Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sindiket memanipulasi aplikasi MySejahtera dan SCVP itu dipercayai tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah. 

Ia difahamkan merupakan modus operandi segelintir individu menerusi sindiket yang menyamar sebagai ‘orang tengah’ bagi mendapatkan slot janji temu vaksinasi dengan kadar bayaran tertentu. 

Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata, siasatan masih dilakukan pada peringkat awal dan polis sedang mengambil keterangan daripada sejumlah saksi yang berkaitan dengan kes tersebut.

“Kami mendesak masyarakat untuk tidak membuat spekulasi mengenai masalah ini dan memberi ruang untuk kami menyiasat masalah ini lebih lanjut.

“Sejajar dengan usaha memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjaya dilaksanakan, masyarakat disarankan untuk sentiasa menyokong dan bekerjasama sepenuhnya dengan pemerintah,” katanya.

Mohd Kamarudin menambah, bahawa polis tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan untuk mensabotaj program ini untuk kepentingan individu atau sebaliknya.

“Tindakan tegas sesuai dengan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang didapati bersalah,” katanya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan sesetengah sukarelawan di pusat vaksinasi di Sabah didakwa menjual slot janji temu kepada individu yang mahu memotong barisan untuk divaksinasi.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, Garis Panduan Pemantauan Vaksin dan Penyediaan ‘senarai menunggu’ sudah dikuatkuasakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button