Berita UtamaUtama

Jadikan PTPTN ‘gula-gula’ politik perbuatan tak bertanggungjawab

Kemarahan rakyat bukan bermula sejak skim PGB diumumkan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Rabiulawal 1440H, Jumaat – Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepatutnya menjalankan kajian terperinci terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang mekanisme atau dasar pembayaran baharu.

Setiausaha Agung Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Eqwan Roslan berkata, sikap tidak profesional pengurusan baharu PTPTN yang diterajui Pakatan Harapan (PH) itu berlanjutan sejak membuat janji manifesto tanpa perincian mekanisme dan unjuran kewangan bagi melaksanakannya.

Beliau berkata, kemarahan rakyat terhadap cara kerajaan PH menguruskan PTPTN, bukan bermula pada langkah pelaksanaan skim potongan gaji berjadual (PGB), yang diumumkan Rabu lalu.

“Ia bermula bertahun-tahun sebelum PRU14 lagi apabila ahli-ahli politik PH menjanjikan pendidikan percuma dan pelupusan hutang penghutang PTPTN.

“Namun, apabila PRU14 telah hampir, manifesto PH tidak memasukkan pendidikan percuma atau pelupusan hutang penghutang PTPTN, tetapi menawarkan penangguhan pembayaran bagi peminjam berpendapatan kurang RM4,000,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Katanya, janji berkenaan bahkan tidak ditunaikan, dan peminjam terus ditimpa dengan tekanan yang lebih teruk apabila jadual pembayaran bersifat pukul rata itu dikeluarkan.

Beliau berkata, skim berkenaan menjejaskan banyak pihak termasuk peminjam yang telah berunding dengan PTPTN sebelum ini, atau telah mempunyai serta mengikuti jadual pembayaran yang dipersetujui dahulu.

“Kemudian keluar pula berita PTPTN sedia mendengar kegusaran setelah orang ramai menyuarakan penentangan terhadap keputusan jadual pembayaran pukul rata itu.

“Ini sangat berbeza dengan PTPTN sebelum ini di mana setiap peminjam ditawarkan untuk berunding untuk pembayaran semula pinjaman mengikut kemampuan yang sesuai,” katanya.

Eqwan berkata, tindakan menjadikan PTPTN sebagai ‘gula-gula politik’ adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Menekan peminjam setelah gagal menunaikan janji adalah tindakan yang tidak bermoral. PTPTN harus diuruskan dengan lestari agar anak muda dapat meneruskan pengajian di peringkat tinggi,” katanya.

Dalam pengumuman yang dibuat Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan kelmarin, peminjam yang berpendapatan RM8,000 sebulan harus membayar sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan atau bersamaan 15 peratus daripada pendapatan.

Pihaknya turut mengenakan kadar pembayaran serendah RM40 sebulan dengan gaji minimum RM2,000 sebulan.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close