Berita UtamaUtama

iGuru syor beberapa langkah selesai kemelut PTPTN

Kementerian Pendidikan perlu cari jalan terbaik, lebih harmoni

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Rabiulawal 1440H, Jumaat – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mencadangkan beberapa langkah lain dalam menyelesaikan kemelut isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengekalkan kaedah pembayaran sistem Ujrah bagi peminjam yang berpendapatan RM2,000 ke atas, dengan persetujuan bersama pihak PTPTN.

Beliau turut mencadangkan supaya pihak pengurusan PTPTN memansuhkan atau menukar pinjaman kepada biasiswa bagi semua graduan yang mendapat kelas pertama, tanpa mengira golongan B40 dan M40.

“Bagi graduan mula bekerja dan mendapat gaji RM2,000 ke bawah, diberi pengecualian pembayaran pinjaman dalam tempoh tertentu seperti tiga hingga lima tahun sahaja.

“Selepas tempoh berkenaan, peminjam terbabit tetap perlu membayar pinjaman tersebut dengan kadar minima RM50, bersesuaian dengan kemampuan dan kemajuan pendapatan dari setahun ke setahun,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, pihak PTPTN juga perlu mengejar 1.4 juta peminjam yang tidak konsisten atau tidak mahu membayar langsung pinjaman pendidikan itu.

Menyedari ramai graduan berdepan isu peluang pekerjaan, Mohd Azizee berkata, Kementerian Pendidikan perlu mencari jalan terbaik dan lebih harmoni berhubung isu pembayaran balik pinjaman PTPTN.

“Manakala, yang sudah bekerja pula dengan kos kehidupan seperti tanggungan penyaraan anak, pinjaman kenderaan dan pengurusan kewangan.

“iGuru bersetuju bahawa semua peminjam perlu membayar hutang walau apa cara sekali pun bagi membantu pelajar-pelajar lain yang memerlukan,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, isu pembayaran balik pinjaman PTPTN hangat diperbahaskan pengguna media sosial susulan pengumuman yang dibuat Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan kelmarin

Dalam pengumuman itu, peminjam yang berpendapatan RM8,000 sebulan harus membayar sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan atau bersamaan 15 peratus daripada pendapatan, menerusi skim potongan gaji berjadual (PGB).

Pihaknya turut mengenakan kadar pembayaran serendah RM40 sebulan dengan gaji minimum RM2,000 sebulan.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close