Berita Utama

Ugutan bunuh: Salahuddin Ayub sangkakan gurauan

Menteri Pertanian terkejut apabila polis tangkap suspek

KUALA LUMPUR, 28 Rabiulawal 1440H, Khamis – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang menerima bangkai seekor lembu bersama nota ugutan bunuh Ahad lalu, mulanya menganggap ia hanya gurauan.

Namun, beliau memandang serius perkara itu apabila dimaklumkan oleh polis.

“Ketika saya tiba di tempat kejadian, reaksi pertama saya memikirkan seseorang sedang bermain-main, dan saya berharap ia tidak akan berpanjangan.

“Tetapi semalam, polis memberitahu saya bahawa ini adalah kes yang serius. Sebagai seorang menteri yang telah diancam dan saya faham bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” kata Salahuddin kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam kejadian itu, bangkai dan ugutan berkenaan dihantar kepadanya di alamat pusat khidmat Parti Amanah Negara di Simpang Jeram, Muar, Johor, Ahad lalu.

Timbalan Presiden Amanah itu berkata, beliau tidak tahu kenapa menjadi sasaran dan beliau difahamkan bahawa polis telah menahan seorang suspek untuk siasatan lanjut.

“Saya tidak kenal dia, saya tidak mengenali namanya. Paling penting, saya ingin mengetahui motif sebenar. Saya tidak mempunyai sebarang musuh. Ssaya tidak bertarung dengan orang ramai, tapi tiba-tiba saya menerima ancaman bunuh,” kata.

Susulan insiden itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, pihak polis menahan seorang lelaki selepas disyaki terbabit dalam kes itu.

“Suspek ditahan reman sehingga Jumaat (esok) bagi membantu siasatan,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close