Berita UtamaUtama

Rabies ragut satu lagi nyawa di Sarawak

KKM ingatkan orang awam ambil langkah pencegahan elak jangkitan

BANGI, 28 Rabiulawal 1440H, Khamis – Satu lagi kes rabies baharu dilaporkan di Kuching, Sarawak membabitkan seorang lelaki berusia 21 tahun, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan telah meninggal dunia pada pagi 4 Disember lalu di Hospital Umum Sarawak.

“Untuk makluman, pesakit tersebut telah meninggal dunia pada pagi 4 Disember 2018 di Hospital Umum Sarawak.

“Punca kematiannya adalah Rabies Encephalomyelitis. KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ingin mengucapkan takziah kepada keluarga beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, kes terbaharu itu menjadikan jumlah kematian sebanyak 13 daripada 14 kes di negeri berkenaan sejak pengisytiharan wabak rabies pada 30 Jun 2017.

“Manakala, satu kes lagi masih dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi.

“Sehingga 4 Disember 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 54 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies di kalangan haiwan. Hanya Limbang sahaja kawasan yang masih bebas rabies,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang awam supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan rabies.

Katanya, KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, agensi lain serta negara jiran seperti Indonesia bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close