Berita Utama

240 pelajar teruja sertai Misi Kecemerlangan Pendidikan anjuran Relawan Muda ISMA

Pendedahan teknik belajar, jawab SPM dengan baik untuk pelajar orang asli, Bumiputera

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

TAPAH, 10 Ramadan 1444H, Sabtu – Program Misi Kecemerlangan Pendidikan anjuran Relawan Muda ISMA (RMI) dengan kerjasama Yayasan Telekom Malaysia (YTM) bagi sesi 2023/24 membuka tirainya di dua lokasi bermula hari ini. 

Pengarah Program, Mohd Khairul Annuar Asharruddin berkata, program ini melibatkan seramai 114 pelajar Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tapah, Perak dan 126 pelajar di SMK Segaliud, Sandakan, Sabah.

Katanya, misi di Perak melibatkan pelajar Tingkatan 5 dalam kalangan orang asli dari suku Semai. 

Menjelaskan mengenai objektif program, beliau berkata, ia bertujuan mempersiapkan pelajar supaya lebih komited dan berkeupayaan dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita memberi pendedahan supaya pelajar mengetahui, memahami serta menguasai teknik belajar dengan baik dan teknik menjawab soalan peperiksaan SPM dengan baik.

“… selain meningkatkan motivasi melalui modul pelajar cemerlang yang disediakan dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar serta sukarelawan bagi setiap aktiviti yang dijalankan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Berkongsi mengenai idea penganjuran, Khairul berkata, program kali ini merupakan suatu pengalaman yang amat bermakna dan menarik hingga mendorong beliau mendukung misi ini. 

“Saya memulai langkah pertama dengan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi bagi kedua-dua sekolah iaitu SMK Sri Tapah, Tapah Perak dan SMK Segaliud, Sandakan, Sabah.

“Setelah itu, saya berdiskusi dengan team RMI dan kami merancang untuk membuat tindakan yang tepat bagi membantu pelajar mencapai tujuan mereka, dengan cara memberikan bimbingan belajar dan melibatkan sukarelawan dari seluruh Malaysia.

“Ini kami lakukan dengan menawarkan program seperti Kem Motivasi Kecemerlangan, Kelas Tuisyen Intensif dan Kelas Mengaji bagi yang beragama Islam,” katanya.

 

Ketika ditanya mengenai penerimaan pelajar, Khairul yang juga Pengurus Operasi RMI berkata, pengalaman melaksanakan program ini termasuk respon pelajar sangat luar biasa. 

“Para pelajar menunjukkan peningkatan partisipasi dalam setiap aktiviti yang dijalankan dan menunjukkan minat mereka untuk memajukan diri mereka.

“Ringkasnya saya sangat berbangga dengan hasil yang dicapai oleh program ini, dan saya percaya bahawa kerjasama dan usaha murni ini dapat memberi peluang pendidikan dan masa depan yang baik buat anak-anak orang asli di Tapah, Perak dan anak-anak Bumiputera di Sandakan, Sabah.

“Saya juga berharap program ini dapat memberikan inspirasi bagi program-program yang lain di masa hadapan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button