Berita UtamaDuniaUtama

OPEC dijangka umum potong pengeluaran minyak mentah

Harga minyak dunia dijangka meningkat mulai tahun depan

DOHA, 28 Rabiulawal 1440H, Khamis – Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dijangka bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak dalam usaha mengekalkan harga pada paras tinggi.

Wakil daripada negara anggota OPEC yang akan bersidang di Vienna esok, dijangka membuat keputusan itu berikutan kedudukan harga minyak mentah dunia sekarang.

Beberapa jam sebelum mesyuarat bermula, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa OPEC dan sekutunya untuk terus mengekalkan pengeluaran minyak pada tahap lebih tinggi, supaya harganya lebih rendah.

“Mudah-mudahan OPEC akan mengekalkan aliran minyak, bukan mengehadkannya. Dunia tidak mahu melihat atau memerlukan harga yang tinggi,” kata Trump.

Tetapi, OPEC dan sekutunya, yang menawarkan lebih separuh daripada jumlah minyak dunia, merancang memotong pengeluaran, yang bakal meningkatkan harga.

Menteri Minyak Arab Saudi, Khalid Al-Falih berkata, AS tidak sepatutnya cuba untuk mengawal polisi OPEC.

“Kami tidak perlukan kebenaran daripada sesiapa pun untuk memotong pengeluaran. AS tidak berada pada kedudukannya untuk memberitahu apa yang perlu kami lakukan,” katanya kepada pemberita.

Menteri minyak Oman dan Nigeria turut mengesahkan bahawa pengeluaran minyak oleh OPEC akan dikurangkan.

Bagaimanapun, berapa jumlah pengeluaran minyak akan dikurangkan tidak dapat dipastikan, tetapi Arab Saudi sebagai pemimpin de facto OPEC, dilaporkan mahu memotong sekurang-kurangnya 1.3 juta tong sehari, atau 1.3 peratus daripada pengeluaran dunia.

Arab Saudi berharap Russia, salah sebuah negara sekutu penting OPEC, memotong pengeluarannya sehingga kira-kira 250,000 tong sehari, tetapi Moscow dilaporkan mahu mengurangkan separuh daripadanya sahaja.

Iran bagaimanapun, berharap mereka diketepikan daripada terbabit dalam pengurangan itu, tatkala kedudukan ekonominya semakin teruk berikutan sekatan oleh AS.

Pada Oktober lalu, harga minyak mentah mencecah paras tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu AS$86 setong, tetapi kemudian jatuh kepada AS$60 setong.

Mesyuarat OPEC kali ini bertepatan dengan keputusan Qatar keluar daripada pertubuhan berkenaan, mulai 1 Januari depan. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close