Berita Utama

Najib sindir Maszlee, Wan Saiful menyusahkan rakyat

Isu PTPTN, Kementerian Pendidikan tonjol sikap kerajaan PH

BANGI, 28 Rabiulawal 1440H, Khamis – Kerajaan digesa menguatkuasakan perjanjian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia ada yang mengambil kira kemampuan, berbanding melaksanakan polisi yang menyusahkan banyak pihak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan juga harus menyediakan insentif bagi menggalakkan peminjam membuat bayaran lebih atau melangsaikan hutang.

“Asasnya, apa yang Maszlee (Menteri Pendidikan, Maszlee Malik) dan Wan Saiful (Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan) perlu buat ialah kuatkuasakan perjanjian PTPTN bawah kerajaan BN dahulu yang mengambil kira kemampuan.

“Pada masa sama, galakkan sesiapa yang mampu dan ingin bayar lebih atau langsaikan pinjaman lebih awal dengan pelbagai insentif. Ini tidak. Lihatlah apa yang kerajaan PH hari ini buat. Yang konsisten bayar mengikut perjanjian pula dihukum dan dihukum teruk,” katanya dalam satu catatan Facebook, hari ini.

Najib juga menyindir Maszlee dan Wan Saiful, kononnya dahulu adalah pejuang mahasiswa, namun kini hanya menyusahkan rakyat.

“Nama dia Wan Saiful. Ingatlah nama dan wajahnya. Sekali dengan Maszlee. Apa nama pejuang mahasiswa itu? Kalau jumpa tanya khabar. Mereka ini sejak masuk ke Kementerian Pendidikan, kerja mereka menyusahkan orang sahaja.

“Hari ini, berlipat kali ganda peminjam PTPTN kena bayar – ada yang wajib bayar melebihi RM1,200 setiap bulan. Ini bukan satu angka yang kecil,” katanya sambil menegaskan dasar baru PTPTN dibantah banyak pihak, kerana tiada perbincangan dan konsultasi dibuat sebelum kerajaan mengeluarkan kenyataan.

Sehubungan itu, Najib berkata, jika kerajaan gagal menunaikan janji manifesto untuk memberikan pendidikan percuma, sekurang-kurangnya mereka boleh mengadaptasi polisi kerajaan terdahulu.

“Jadi apa langkah PTPTN seterusnya? Kalau dah tak boleh tunai janji manifesto atau beri pendidikan percuma, sekurang-kurangnya copy and paste apa BN buat dahulu.

“Beri perhatian, salinlah jawapan dan ambil nota jika tak faham. Baru kita boleh bagi skor 9.95 kepada “Menteri masih belajar”,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close