Berita UtamaUtama

Himpunan 812 titik penting tonjol naratif perjuangan

Pembina seru rakyat hadir pertahan Perlembagaan Persekutuan

BANGI, 28 Rabiulawal 1440H, Khamis – Himpunan aman dijadualkan berlangsung pada 8 Disember (Himpunan 812) ini bukan sahaja meraikan kejayaan rakyat membantah ratifikasi konvensyen antarabangsa, malah ia menjadi titik penting menonjol naratif perjuangan sebenar.

Justeru, Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) menyeru rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk turut hadir ke himpunan ini yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Presiden Pembina, Azam Asri berkata, sebagai rakyat, tugas kita adalah menunjukkan bahawa perjuangan memartabatkan bangsa Melayu dan Islam bukannya rasis, sebaliknya bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan dan meraikan kedudukan kaum lain.

Sehubungan itu, katanya, apa-apa tindakan untuk menganggu-gugat kedudukan istimewa Islam dan Melayu perlu ditolak supaya dapat melahirkan masyarakat yang lebih aman dan mampu fokus kepada aspek pembangunan negara.

Namun, katanya, masih ada pihak yang melihat usaha mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu di negara ini sebagai rasis.

“Bahkan mereka melihat usaha untuk menutup tindakan pimpinan politik yang jelas menghina agama Islam dan bangsa Melayu sebagai usaha yang mulia.

“Mereka ini telah termakan dengan naratif perjuangan yang diilhamkan oleh musuh negara. Kita perlu ubah kerana ini adalah pertembungan naratif,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Azam berkata, ketenteraman dan keharmonian bangsa di Malaysia semakin merisaukan apabila banyak usaha untuk menukar fasal-fasal Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial.

Beliau berkata, atas dasar untuk mempertahankan Perlembagaan dan menjaga keharmonian bangsa rakyat perlu menghormati Perlembagaan dan kontrak sosial.

“Sejarah pembentukan Malaysia mencatatkan kontrak sosial ini yang menjadi pengikat kepada keharmonian bangsa. Oleh itu kenapa harus kita uraikan ikatan yang telah kukuh ini?” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close