Berita UtamaUtama

Audit 1MDB: Najib hadir ke SPRM hari ini

Kehadiran bekas perdana menteri tidak disedari petugas media

PUTRAJAYA, 28 Rabiulawal 1440H, Khamis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan pada laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketibaan beliau pada kira-kira 10.30 pagi tidak disedari petugas media yang menunggu di pintu utama bangunan suruhanjaya itu namun kehadirannya dimaklumkan oleh jurucakap SPRM.

Pada 25 November lepas, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB telah diubah dan Najib tahu perkara itu.

Madinah turut mendedahkan bahawa dua perkara penting yang digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Pada hari sama, SPRM dilaporkan berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Semalam, SPRM memanggil bekas Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Turut dipanggil semalam ialah bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang yang hadir buat kali kedua selepas memberi keterangan pada 26 November lalu.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close