Berita UtamaUtama

Operasi SAR insiden letupan di CityOne ditamatkan

Tiada lagi mangsa tertimbus dalam serpihan struktur bangunan

KUCHING, 27 Rabiulawal 1440H, Rabu – Sehingga jam 9.27 malam semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian letupan yang dipercayai akibat kebocoran gas di CityOne Megamall di sini ditamatkan, dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan tiga nyawa terkorban dan 26 orang tercedera dalam insiden pada kira-kira jam 3.30 petang itu.

Ia ditamatkan selepas pihak bomba yang turut dibantu unit anjing pengesan mengesahkan tiada lagi mangsa tertimbus dalam serpihan struktur bangunan berkenaan.

Letupan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas ketika proses kimpalan di restoran Nene Chicken yang dijadualkan dibuka hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang berada di tempat kejadian semalam berkata, punca sebenar kejadian sedang disiasat dengan terperinci.

Sementara itu polis Kuching mengenalpasti tiga lelaki yang meninggal dunia dalam kejadian itu sebagai O Kui Lim, 49, dan Tchee Kiom Joong, 24, kedua-duanya dari Kuching dan seorang lagi Chin Hsien Loong, 29, dari Butterworth, Pulau Pinang.

Dua yang maut dipercayai pekerja Nene Chicken, yang sedang membuat persiapan untuk pembukaan restoran itu hari ini.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan negeri Padungan Wong King Wei ketika ditemui di tempat kejadian berkata, beliau akan menuntut perhatian Kementerian Sumber Manusia, untuk melihat kepada garis panduan lebih ketat bagi pekerja di tempat kerja, di samping peraturan untuk dipatuhi para pekerja, susulan kejadian itu.

Sementara itu CityOne Megamall dalam akaun Facebook memaklumkan yang ia sudah mengeluarkan notis yang premis itu ditutup kepada orang ramai dengan serta merta sehingga satu notis berikutnya dikeluarkan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close