Berita UtamaUtama

Muhyiddin tanya Maszlee isu 1MDB dalam silibus Sejarah

Laporan media mungkin cedok sebahagian daripada kenyataan menteri

BANGI, 27 Rabiulawal 1440H, Rabu – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menghubungi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan beliau berkenaan isu silibus Sejarah di Parlimen, baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, sebaik sahaja kenyataan awal Maszlee mendapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak, beliau sebagai rakan dan presiden ada menghubunginya berhubung isu itu.

“Saya hubung beliau, dan dia (Maszlee) kata kalau dilihat pada video di Parlimen, beliau respon kepada soalan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang lebih panjang daripada itu.

“Tetapi apabila dikeluarkan oleh media, mungkin dicedok yang itu agaknya, memberi gambaran seolah-olah dia buat kenyataan begitu,” katanya dalam video menerusi segmen ‘Audio Buzz’ di Sinar Harian, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, salah faham itu bagaimanapun sudah diperbetulkan oleh pihak menteri pendidikan semalam.

“Bagi saya dia dah buat pembetulan, elok dia buat pembetulan. Saya juga pernah jadi menteri pendidikan.

“Biasanya sesuatu perkara yang dibawa dan dimasukkan dalam silibus apa pun, ada satu panel yang akan meneliti, termasuklah subjek Sejarah. Apa pun dia sudah jelaskan, saya fikir kita terima penjelasan itu,” katanya.

Isnin lalu, media melaporkan Maszlee sebagai berkata, isu berkaitan skandal 1MDB dan penyelewengan membabitkan ahli politik akan dimasukkan sebagai sukatan pelajaran Sejarah di sekolah.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan itu menafikan laporan media berkenaan, dan menjelaskan bahawa Maszlee hanya menyebut bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia.

“Laporan media memetik seolah-olah Dr Maszlee mengatakan kes 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah Malaysia adalah tidak tepat.

“Sama ada ia akan dimasukkan ke dalam silibus terserah kepada jawatankuasa kajian kurikulum Kementerian Pendidikan,” kata kenyataan pihak menteri itu.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close