Berita UtamaUtama

Audit 1MDB: Ambrin sekali lagi hadir ke SPRM

Bekas Ketua Audit Negara dipanggil beri keterangan kali kedua

PUTRAJAYA, 27 Rabiulawal 1440H, Rabu – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang sekali lagi hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Beliau yang tiba jam 2 petang tadi dipanggil buat kali kedua bagi memberi keterangan berhubung siasatan pindaan laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 26 November, Ambrin sudah hadir memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan itu.

Selain Ambrin, turut dipanggil hadir ke SPRM hari ini adalah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB telah diubah dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahu perkara itu.

Antara lain Madinah mendedahkan bahawa dua perkara penting yang digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang terbabit dalam pindaan itu ialah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh, bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda.

Pada hari sama, SPRM dilaporkan berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close