Berita UtamaUtama

‘Terima kasih DBKL, PDRM’

Zahid Hamidi ajak rakyat sertai himpunan kesyukuran tolak ICERD

BANGI, 25 Rabiulawal 1440H, Selasa – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghargai keputusan pihak berkuasa meluluskan perhimpunan kesyukuran menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa rakyat tanpa mengira perbezaan politik supaya untuk menyertai perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bermula jam 2 hingga 6 petang.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mengingatkan semua peserta supaya mengikut arahan yang telah ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Permit himpunan 8 Disember telah diluluskan. Terima kasih DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia). Kita beramai-ramai hadir tanpa mengira perbezaan.

“Ini merupakan himpunan aman. Tunjukkan semangat kesatupaduan sejati. Ikut arahan Akta Perhimpunan Aman dan penganjur,” katanya menerusi kenyataan di Twitter.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan memaklumkan bahawa pihaknya meluluskan penganjuran perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ICERD, Sabtu ini.

Beliau berkata, melalui kelulusan itu, pihak penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula 2 hingga 6 petang.

“Kami bersetuju dan berharap agar perhimpunan itu diadakan secara aman damai, sejahtera dan memberi kebaikan kepada semua pihak.

“Saya juga berharap kebenaran ini dapat dilaksanakan dengan baik. Saya percaya PDRM akan memantau perkara ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close