Berita UtamaKata PedangUtama

Maszlee pun bakal jadi sejarah?

Khabarnya tak lama lagi Kabinet akan dirombak...

DESAS-DESUS itu Pedang dengar daripada ‘orang dalam’ kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hendak membuat penyusunan semula selepas melihat prestasi menteri sedia ada.

Iyalah! Mula-mula lantik menteri dahulu boleh dikatakan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa. Hampir 95 peratus menteri dan timbalan menteri yang dilantik itu pula adalah muka baharu yang tidak pernah menguruskan negara.

Macam ‘tangkap muat’ atau ‘bidang terjun’ juga. Sebab itu, awal-awal lagi Pedang lihat kebanyakan yang dilantik sama ada menjadi menteri, timbalan menteri, menteri besar atau Exco, tak kekal lama.

Dalam pada mereka menjadi menteri atau timbalan menteri itu, prestasi mereka diperhatikan. Bukan sahaja oleh PM atau rakyat, tapi ‘mata-mata’ yang ditugaskan memantau kerja dan kenyataan mereka.

Pedang lihat hanya beberapa kerat sahaja menteri dan timbalan menteri yang betul-betul memfokuskan kepada kerja yang diberikan kepada mereka.

Mereka tidak banyak bercakap politik atau perkara remeh-temeh, berbanding sebelum menjadi menteri atau timbalan menteri. Mereka fokus kepada tugas di kementerian yang diletakkan di atas bahu mereka.

Mereka inilah yang sedang bekerja, sementara ada menteri dan timbalan menteri yang bercakap perkara remeh-temeh sehingga menjadi bahan gelak ketawa rakyat – sama seperti sesetengah menteri dan timbalan menteri kerajaan terdahulu.

Isu kasut sekolah warna hitam – jadi bahan jenaka. Isu mandi di kolam renang pun jadi bahan jenaka. Itu belum lagi beberapa isu besar lain, termasuk memasukkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam subjek Sejarah.

Hari ini, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menafikan mengeluarkan kenyataan akan menjadikan kes 1MDB sebagai salah satu silibus dalam subjek Sejarah, dan menyalahkan media kerana salah petik kenyataannya.

Kenyataannya itu mendapat kecaman pelbagai pihak. Sama ada salah petik atau tidak, kenyataan beliau berkaitan subjek Sejarah dan 1MDB adalah rentetan daripada soalan yang ditanya oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus, diikuti soalan tambahan Ahli Parlimen yang sama.

Kemudian, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan bangun mengemukakan soalan. Ikuti transkrip soalan dan jawapan membabitkan Maszlee dan beberapa Ahli Parlimen, seperti tercatat dalam Senarai Penyata Rasmi (Hansard) Parlimen, semalam.

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan [Pontian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jika kita tidak tahu tentang sejarah, maka kemungkinan kita akan mengulangi keburukan sejarah yang dilalui itu. Saya ingin tahu, ada berapa kumpulan sekolah swasta di negara kita ini dan adakah sekolah-sekolah swasta itu kita pastikan mengambil mata pelajaran Sejarah seperti 60 independent Chinese school dan apakah tajuk-tajuk dan fakta sejarah yang menjadi kontroversi dalam negara kita ini? Satu lagi, setakat berapa tahun, satu perkara itu boleh dianggap sebagai satu sejarah dan boleh dimasukkan dalam subjek Sejarah. Terima kasih.

Dr Maszlee bin Malik: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya amat bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Pontian tentang sesuatu kesilapan dalam sejarah perlu dipelajari agar tidak diulangi. Saya boleh memberikan jaminan bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia supaya generasi ke depan tidak akan mengulangi. Begitu juga dengan jenayah…

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan [Pontian]: Itu termasuk― termasuk RM42 bilion harta 1MDB, hutang cuma RM31. Aset RM42 bilion, hutang RM31 bilion. Itu masukkan juga dalam…

Dr Maszlee bin Malik: …besar yang dilakukan oleh ahli politik dalam menyamun…

Tuan Wong Kah Woh [Ipoh Timur]: Tidak mengapakah masuk sahaja. Masuk sejarah sahaja.

Dr Maszlee bin Malik: Begitu juga sejarah yang menyaksikan bahawa Khazanah…

Datuk Seri Dr Adham bin Baba [Tenggara]: Kasut hitam masuk juga…

Dr Maszlee bin Malik: Negara telah disamun oleh pemimpin akan dimasukkan dalam sejarah juga.

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan [Pontian]: Termasuk juga RM32 bilion yang hilang akibat the Forex Scandal.

Dr Maszlee bin Malik: Berkaitan dengan sejarah atau pengajian dan pembelajaran sejarah di sekolah-sekolah cina swasta. Saya mengucapkan sebanyak-banyak tahniah kepada DBP kerana telah menjalankan pelbagai usaha libat urus, dengan izin, engagement dengan sekolah-sekolah aliran Cina, bermula dengan beberapa bulan yang lepas, berterusan untuk memastikan bahawa semangat patriotik pengangkatan atau pemartabatan bahasa Melayu akan sentiasa berlaku hatta di sekolah-sekolah Cina sekalipun.

Saya ucapkan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Walau bagaimanapun, saya ingin membawa sepotong kata-kata daripada penyair terkenal Indonesia, Goenawan Mohamad yang mengatakan, “Tapi barangkali memang sejarah terdiri dari penemuan-penemuan separuh benar atau separuh salah hingga kemajuan terjadi.” Begitu juga Kuntowijoyo ada mengatakan, “Dengan sejarah kita belajar jatuh cinta”. Terima kasih.

Namun, apa yang penting bagi Pedang di sini ialah, Maszlee tidak menjawab sepenuhnya persoalan mengenai sama ada sekolah persendirian Cina juga sekarang ini belajar subjek Sejarah Malaysia sepenuhnya.

Sedangkan kita tahu, subjek Sejarah yang diajar di sekolah itu lebih banyak difokuskan kepada pemerintahan negara China misalnya Dinasti Ming. Buku-buku yang dipelajari di sekolah itu tidak memenuhi aspirasi pendidikan negara.

Maszlee sepatutnya memberi tumpuan kepada memperkemaskan agenda nasional dalam pendidikan negara, bukan membuat kenyataan remeh sehingga dilihat seolah-olah hendak membalas dendam terhadap kerajaan lama.

Sebab itu Pedang rasa memang betul desas-desus Kabinet akan dirombak menjelang tahun baharu 2019 nanti.

Kata Pedang: Maszlee pun mungkin masuk sejarah sebagai menteri pendidikan paling singkat jika terus jadi ‘Mr Bean’.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close