Kolumnis

Sukarkah Melayu untuk bersatu

Nyahkan pimpinan yang tiada agenda untuk agama, bangsa dan negara

SUASANA sekarang perlu kepada Melayu bersatu. Bersatu dalam satu persepakatan dan pemuafakatan untuk menjaga maruah bangsa, agama dan negara. Kenapa begitu sukar untuk membentuk kerjasama politik antara parti-parti politik Melayu. Apa yang berlaku hari ini adalah sejarah yang akan ditatapi oleh generasi akan datang sama ada kita disanjung atau dicaci sepanjang zaman. Kita disanjung bukan kerana jawatan atau pangkat. Jasa baik untuk bangsa, agama dan negara akan dikenang sepanjang zaman tetapi jika sebaliknya, kita akan dilaknat dan dicaci oleh umat hingga ke lahad.

Jawapan paling mudah kenapa pimpinan politik Melayu payah untuk bersatu ialah kerana jati diri mereka telah luntur. Faktor yang lebih utama ialah mereka utamakan kepentingan peribadi untuk menjaga jawatan, pangkat dan harta. Perjuangan untuk bangsa dan agama hanyalah mainan pertuturan untuk maniskan kalam. Dilubuk hati penuh dengan sifat tamak dan haloba. Jangan kamu rasakan umat jahil dan tertipu untuk selamanya. Setiap pergerakan kamu dapat dibaca dengan mudah. Umat tidak sebodoh sebagaimana yang kamu sangkakan. Boleh ditipu dan diperkotak-katikkan ikut cita rasa dan selera kamu.

Kebangkitan umat telah bermula. Mudah-mudahan kebangkitan ini akan mengumpulkan semua tenaga pejuang yang ada dari puncak istana hingga rakyat dihujung desa. Nyahkan pimpinan yang masih leka dengan kedudukan yang ada dan pimpinan yang tiada agenda untuk agama, bangsa dan negara. Adakah dengan Islam Melayu tidak boleh bersatu walaupun dari pelbagai latar belakang. Rasulullah ﷺ menyatukan Aus dan Khazraj di Madinah dengan Islam dan iman. Kenapa sekarang tidak? Ini bermakna Melayu telah meninggalkan agama walaupun masih mengaku beragama Islam.

Sejarah dahulu banyak beri pengajaran kepada kita. Kerana ada Melayu belot, Melaka jatuh ke tangan penjajah. Melayu yang pentingkan kedudukan dan harta rela korbankan negara akhirnya terkorban dengan kehinaan. Adakah masih ada Melayu sedemikian? Sejarah berulang. Melayu yang ketepikan kepentingan agama dan bangsa adalah dari keturunan yang sama. Mereka tolak saudara seagama bahkan dijadikan musuh utama. Mereka adalah pembelot. Mereka jadikan umat sebagai loncatan untuk dapatkan atau kekalkan pangkat dan kedudukan. Orang kafir yang jelas beragenda menentang Islam dijadikan saudara hanya kerana dijanjikan pangkat dan kedudukan. Ayuh tinggalkan mereka. Jangan jadikan mereka pemimpin umat. Semoga generasi kita selamat mewarisi pusaka keramat.

Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir
YDP Isma Pasir Puteh.

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close