Berita UtamaDuniaUtama

Qatar umum keluar OPEC

Doha tumpu tingkat pengeluaran gas asli cecair

DOHA, 25 Rabiulawal 1440H, Isnin – Qatar akan keluar daripada menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), kata Menteri Tenaganya, Saad Sherida al-Kaabi, hari ini.

Keputusan meninggalkan blok 15 anggota pengeluar minyak utama dunia itu disahkan oleh Qatar Petroleum.

Memberitahu sidang media di sini, al-Kaabi berkata, keputusan itu mencerminkan keinginan Qatar untuk memfokuskan usahanya bagi merancang dan meningkatkan pengeluaran gas asli daripada 77 juta tan setahun kepada 110 juta tan pada masa depan.

Qatar adalah negara Teluk pertama meninggalkan blok itu. Keputusan itu dibuat ketika OPEC merancang mengadakan mesyuaratnya 6 Disember ini.

Doha mendakwa tindakan itu tiada kaitan dengan sekatan oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain.

Pengeluaran minyak Qatar terus menurun 728,000 tong sehari pada 2013 kepada kira-kira 607,000 tong sehari pada 2017, atau hanya di bawah dua peratus daripada jumlah pengeluaran OPEC.

Sementara, jumlah keseluruhan pengeluaran dalam tempoh itu bagaimanapun meningkat 30.7 juta tong sehari pada 2013, kepada 32.4 juta tong sehari.

Qatar menyertai OPEC pada 1961, setahun selepas pertubuhan itu diwujudkan.

Awal minggu ini, OPEC dan Russia, yang mana kedua-duanya menawarkan 40 peratus bekalan minyak dunia berkata, mereka bersetuju dengan langkah memotong bekalan bagi memastikan harga minyak tidak jatuh teruk bulan depan.

Oktober lalu, harga minya mencecah paras tertinggi dalam empat tahun iaitu AS$86, tetapi sejak itu ia jatuh semula sehingga AS$60 satu tong.

Qatar adalah pengeluar gas asli cecair (LNG) terbesar dunia iaitu kira-kira 30 peratus daripada keperluan.

Al-Kaabi berkata, tindakan keluar daripada OPEC semata-mata keputusan perniagaan.

“Kami adalah pemain kecil dalam OPEC, kami adalah ahli perniagaan. Tidak masuk akal bagi kami untuk memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang bukan kekuatan kami, sedangkan gas adalah kekuatan kami,” katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk meningkatkan bekalan gas asli adalah strategi masa depan berdasarkan pertumbuhan dan perkembangan baik dalam industri itu di dalam dan di luar negara.

September lalu, Doha mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan pengeluaran gas asli dengan menambah barisan pengeluaran keempat, untuk menaikkan kapasiti pengeluaran dari ‘North Field’ kepada 110 juta tan setahun.

Kebanyakan 80 juta tan bekalan LNG tahunan Qatar dihantar ke kapal tangki ke negara-negara berbeza, termasuk UAE, salah satu negara yang mengenakan sekatan ke atas Doha. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close