Berita UtamaKata PedangUtama

Kolumnis kami ditimpa musibah

Wahai UNISZA... pastinya ada tangan celaka cuba sekat suara Islam

BERTEMU semula. Lebih sebulan Pedang tidak membuat kemunculan. Bukan apa, bukan menyampah, tapi bertapa, sesekali memerhati dunia – beribadat di Tanah Suci.

Apapun, Pedang sudah berdoa di depan Kaabah semoga Islam di Malaysia terus terjaga dan bebas daripada ancaman kafir.

Tulisan hari ini adalah berkaitan satu maklumat yang Pedang terima. Pastinya ada yang tertunggu-tunggu tulisan seorang kolumnis yang sepatutnya disiarkan di Ismaweb, hari ini atau lebih tepat pada setiap Isnin.

Tulisannya yang keras dan tegas kerap kali mempertahankan kebenaran, Islam dan Melayu, sentiasa ditunggu-tunggu, tetapi tidak disukai oleh puak liberal, ultra kiasu dan orang kafir.

Pedang pun tertunggu-tunggu juga tulisan beliau. Tapi tiada. Siasat punya siasat, Pedang diberitahu bahawa beliau ditimpa musibah.

Kepada beliau, Pedang ingatkan firman Allah Taala dalam ayat 155 dan 156 surah Al-Baqarah, yang bermaksud:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.

Dan, Pedang percaya jika tiada angin masakan pohon bergoyang! Jika tiada tangan-tangan celaka, pastinya Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), tidak akan campur tangan.

Dalam pada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan (PH), memberi kebebasan bersuara, rupa-rupanya tangan-tangan celaka ini, diikat hidung, mengikut kehendak puak liberal dan sekular untuk menyekat suara-suara mempertahankan Islam dan pribumi.

Pasti juga, ada tangan-tangan daripada PH yang sakit hati, menyucuk jarum mereka dan mengarahkan jawatankuasa aduan universiti untuk mengambil tindakan. Mungkin juga ultra kiasu dalam PH, mungkin juga tangan-tangan celaka dalam Kementerian Pendidikan.

Ini bukan kali pertama kolumnis berkenaan ‘ditegur’ dan diberi ‘Surat Peringatan Pentadbiran’.

Sebelum ini pun beliau yang agak kritis dalam penulisannya mempertahankan Islam, menyerang ultra kiasu, kumpulan liberal tidak kira ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan sekarang PH, sudah ditegur dan suaranya dalam sebuah akhbar harian disekat.

Beliau kemudian menerima pelawaan menjadi kolumnis Ismaweb.net – sebuah portal Islam dan Melayu. Bermula tahun lalu, beliau mula membuat pelbagai teguran dan komen dalam Ismaweb.

Penulisan beliau tidak terlepas daripada menyentuh ultra kiasu dalam pentadbiran kerajaan dan parti pemerintah. Lebih banyak mempertahankan Melayu, sehingga dianggap ‘lebih Melayu daripada Melayu’ walaupun beliau berketurunan Cina.

Ulasannya terhadap menteri agama, Mujahid Yusof Rawa pada 25 September lalu menjadi artikel paling popular dalam Ismaweb apabila 118,801 membacanya di dalam laman web kami sahaja, tidak termasuk menerusi Facebook, Telegram, Twitter dan dikongsi puluhan ribu peminatnya.

Tegurannya terhadap ketua Wanita MCA dan komennya apabila Anwar Ibrahim memakai lambang agama lain, turut juga tersenarai sebagai artikel paling popular dalam Ismaweb.

Beliau dituduh ekstrem, tetapi membalasnya dengan kata-kata ‘kalau kami ekstrem sudah lama ultra kiasu kena tendang’.

Kerap kali mengetengahkan isu ultra kiasu dalam tulisannya, beliau memberi ulasan akhir dalam Ismaweb semalam, dengan teguran keras kepada Cina dan India yang masih menumpahkan taat setia kepada negara asal kedua-dua kaum itu.

Dan, Pedang difahamkan bahawa semalam beliau menerima ‘surat cinta’ daripada UNISZA.

Surat itu menyatakan jawatankuasa aduan telah bermesyuarat pada 29 Oktober lalu berhubung artikel dalam laman web dan media sosial dan memberi amaran kepada beliau, supaya menjaga nama baik universiti dan tidak menjatuhkan maruah Kementerian Pendidikan.

Inilah musibah yang harus diterima oleh orang seperti Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah yang berjuang dengan ikhlas demi Islam dan negara. Apapun, Pedang mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau. Pedang yakin beliau bukan jenis orang yang terus mengaku kalah.

Dan….

Kata Pedang: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama!”  Semoga tangan-tangan celaka itu kelak akan dibakar kerana menyekat mereka yang membela Islam.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close