PendapatUtama

Dominasi aliran liberal

ICERD, doa sepentas dan isu lain hanya 'tip of the iceberg'

ICERD hanyalah sebahagian daripada ‘tip of the iceberg’. Masalah sebenar ialah dominasi aliran liberal demokrasi dan anti identiti Islam dan Melayu yang ada pada kenegaraan Malaysia. Agama dan bangsa di sisi mereka hanyalah isu peribadi.

Seruan kesamarataan antara bumiputera dan bukan bumiputera yang dijulang oleh DAP juga adalah sebahagian daripada ‘tip of the iceberg’. Masalah sebenar ialah fahaman sosialisme demokrasi yang menolak peranan agama dan bangsa dalam urusan pentadbiran masyarakat dan negara.

Bacaan doa sepentas, ungkapan menteri bahawa Allah hanya Tuhan bagi orang Islam, anggapan bahawa non-muslim tak sama dengan kafir, juga adalah sebahagian daripada ‘tip of the iceberg’. Masalah sebenar ialah kecenderungan untuk menyamaratakan status muslim dan kafir, agama Islam dan agama lain; itulah intipati pluralisme agama.

Bajet yang tidak menyebelahi orang Melayu dan institusinya, perlekehan berterusan terhadap bangsa majoriti itu, hanyalah sebahagian daripada ‘tip of the iceberg’. Masalah sebenar ialah dominasi bukan Melayu (minoriti) dalam kerajaan PH.

Waytha Moorty juga hanyalah sebahagian daripada ‘tip of the iceberg’. Masalah sebenar ialah kerajaan dianggotai oleh beberapa individu ektrimis populis yang berjaya mengheret kerajaan untuk cenderung melakukan ‘overrule’ keputusan mahkamah, mengetepikan konsep ‘rule of law’, yang sudah tentu akan menjerumuskan Malaysia ke dalam kancah huru hara.

Saya hanya boleh menyenaraikan sebahagian daripada ‘tip of the iceberg’ sahaja untuk tulisan ringkas ini. Selebihnya tuan puan pembaca boleh memahaminya.

Oleh yang demikian, perhimpunan 8 Disember 2018 (812) ini amat penting. Apabila kehormatan orang Melayu, penduduk asal dan majoriti di Tanah Melayu yang merupakan juara toleransi sedunia, diinjak-injak saban hari, maka amat patutlah mereka berhimpun untuk unjuk perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan hari ini.

Orang Melayu pemerintah PH jika masih ada kesetiaan pada agama dan bangsa sendiri sepatutnya berterima kasih atas penganjuran perhimpunan 812 ini, kerana tekanan perhimpunan ini akan melonggarkan cucukan hidung yang dikenakan ke atasnya oleh aliran liberal dan anti identiti Islam Melayu negara ini.

Tetapi jika anda sendiri sememangnya dengan rela hati mempertahankan puak-puak itu, maka itu namanya khianat, dipahat dalam sejarah dan dikenang dengan caci maki oleh generasi akan datang. Azab akhirat kita serah kepada yang Maha Berkuasa.

Kita semua jangan merelakan diri dimainkan dengan persepsi murahan. Wartawan bertanya kepada mufti tentang perhimpunan 812 dan ICERD, wartawan tidak bertanya tentang liberalisme, DAP, Waytha Moorty dan soalan sepertinya.

Kita semua kenal gajah, jangan biarkan diri kita dipermainkan oleh kanak-kanak buta yang hanya sempat mengenali gajah melalui ekornya sahaja. Hakikatnya kita berdepan yang puak-puak yang sengaja membutakan mata hati, demi asobiyah jahiliyah memenangkan puak tanpa kira benar atau salah.

Sekarang masa mereka jaja pendapat mufti-mufti, sedangkan selama ini mereka berperangai seperti Yahudi yang mencampakkan kebenaran ke belakang, memilih yang secucuk dengan hawa bafsu, membuang yang tidak berkenan. Contoh perangai Yahudi ini boleh dirujuk Surah al-Baqarah ayat 85, 101 dan al-Maidah ayat 41.

Terdapat mufti yang kenyataannya diputar belit oleh media juga. Ini juga seperti perangai Yahudi yang menyelewengkan firman Allah Taala, yang dipanggil tahrif. Rujuk an-Nisa’ ayat 46, al-Maidah ayat 13 dan 41.

Ambillah peringatan ini wahai wartawan sekelian, terutama pihak ketua pengarang yang mengarahkan putar belit itu.

Perhimpunan 812 juga cuba dikerangkakan oleh pengkhianat agama dan bangsa sebagai modal politik PAS dan UMNO sahaja. Modal politik itu tidak dinafikan, tetapi untuk dikerangkakan keseluruhan motif sebegitu sememangnya permainan politik kepartian yang mengkhianati hasrat umat Islam.

Saya ulang perkataan khianat sebab mereka tidak jujur dengan isu umat Islam. Mereka mengutamakan kesetiaan kepartian terhadap rakan aliran liberal dan kuffar, berbanding kembali kepada persaudaraan majoriti seakidah.

Sehingga ke saat kedaulatan umat Islam diinjak-injak oleh puak liberal dan kuffar, mereka masih menari dengan rentak kepartian sempit melawan PAS dan UMNO. Begitulah, sungguh benar sabda Rasulullah S.A.W., “masuk ke lubang biawak pun, mereka akan ikut (Yahudi dan Nasrani)”.

Zikir harian mereka hanyalah 1MDB.

Sudah tentu perhimpunan aman yang diatur dengan kerjasama dan keizinan pihak polis (mesyuarat beberapa kali) sejuta kali lebih baik daripada perhimpunan rusuhan secara spontan di malam hari penuh emosi yang menyebabkan anggota bomba bertarung nyawa dibelasah tempoh hari.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Ahli Majlis Syura Ikatan Muslimin Malaysia

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close