Berita UtamaDuniaUtama

Mesir, Arab Saudi teruskan sekatan terhadap Qatar

Doha dipulau sejak Jun 2017 atas dakwaan sokong keganasan

KAHERAH, 20 Rabiulawal 1440H, Rabu – Mesir dan Arab Saudi mengumumkan secara bersama bahawa sekatan terhadap Qatar akan diteruskan sehingga notis lanjut, lapor saluran televisyen Al-Arabiya.

Kedua-dua negara itu semalam, mengulangi keputusan berkenaan terhadap Doha, yang menghadapi sekatan dari empat negara Arab selama lebih daripada satu tahun.

Pengumuman itu dibuat susulan pertemuan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman di Kaherah, yang kemudiannya melawat ibu kota Mesir sebagai sebahagian daripada lawatan serantau.

Pada Jun 2017, Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu memutuskan hubungan dengan Qatar apabila mengenakan sekatan darat, laut, dan udara di negara Teluk.

Keempat-empat negara itu menuduh Doha menyokong keganasan dan mengharamkan pergerakan politik pembangkang, seperti Ikhwanul Muslimin.

Bagaimanapun, Qatar berulang kali menolak tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Empat negara Arab turut mengeluarkan senarai tuntutan terhadap Qatar, yang terpaksa dipatuhi untuk menormalkan hubungan.

Senarai itu termasuk permintaan menutup rangkaian media Al Jazeera, mengusir tentera Turki dari negara itu, memutuskan hubungan dengan Iran, dan membuat pembayaran ganti rugi kepada empat negara tersebut.

Namun ditolak oleh Qatar, sekali gus mengecam keempat-empat negara sebagai percubaan untuk melanggar kedaulatan Doha. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close