Pendapat

ICERD: Menyanggahi pemikiran seorang doktor falsafah

Tak mustahil berlaku pakatan untuk desak kerajaan laksana dasar konvensyen antarabangsa melalui bajet, pindaan Perlembagaan

SETELAH rasmi dari Pejabat Perdana Menteri pada 23 November 2018 bahawa Kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD, muncul pula tulisan oleh Menteri berpangkat Doktor (Falsafah) dari Jabatan Perdana Menteri (JAKIM) yang masih berdalih mempertahan pendiriannya dan memberi definisi janggal pada pihak-pihak yang konsisten menentang ICERD, tanpa beliau memetik nama.

Kita tidak pasti sama ada beliau ingin tujukan definisi bodoh atau liar (“absurd” dan “berserk”) itu kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid; atau kepada Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu, Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong; atau kepada Penyelidik Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, Puan Zaharah Sulaiman; atau pun kepada pelopor-pelopor dari NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), atau kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ataupun kepada rakan partinya sendiri, Datuk Mahfuz Omar dan lain-lain pemimpin dalam kerajaan.

Kesemua pihak ini mempunyai persamaan iaitu menolak ratifikasi ICERD berdasarkan hujah dan kapasiti masing-masing, tidak kiralah sama ada dari suku kerajaan, pembangkang, NGO mahupun institusi-institusi berlatar belakangkan pendidikan.

Jika benar ditujukan kepada mana-mana atau segelintir nama-nama tersebut, kelihatan agak berani pada zahirnya, namun nampak menikus hakikatnya.

Kita tidak pasti sama ada tulisan beliau itu kemudiannya akan dianggap sebagai ‘pendapat peribadi’ beliau sahaja (sekali lagi setelah beberapa kontroversi beliau menyentuh sensitiviti Islam), atau pun ia sebenarnya mewakili suara kecil daripada segelintir pihak kerajaan yang masih mahu berdegil untuk teruskan ratifikasi ICERD dan beberapa konvensyen antarabangsa yang berupaya memberi kesan kurang baik pada keluhuran perlembagaan Malaysia yang sedia ada diterima semua pihak sejak sekian lama.

Yang pastinya Doktor (Falsafah) ini sangat terkenal mengutarakan idea janggal mutakhir ini, malah rekod-rekod penglibatannya dalam arena politik dan akademik sebelum ini, cukup menjadi bukti bahawa beliau sangat terkenal sebagai figura yang kerap melontarkan idea dan gagasan yang bersifat ‘janggal’.

Terkenal dengan kelunakan beliau pada gerakan mengiktiraf trasngender, kenyataan U-Turn mengenai hukuman sebatan syariah di Terengganu, gesaan menutup pusat tahfiz atas kesalahan penderaan seksual, halangan serbuan khalwat dan beberapa kenyataan lain yang mengundang kekeliruan awam.

Selain, penulisan beliau yang ‘mind blowing’ seperti Rejuvenasi PAS dan Menuju PAS Baru suatu ketika dahulu, malah tesis PhD beliau yang bersahaja meng-akademik-kan dakwaan konflik dalaman PAS bertajuk “Konflik organisasi dalam parti Islam dan kesannya terhadap perubahan organisasi: Kajian Parti Islam Se-Malaysia di Melaka”; tidak keterlaluan sekiranya kita mendefinisikan beliau sebagai seorang yang gemar mengutarakan idea yang mahu dilihat seperti out of the box, hakikatnya sangat janggal!

Berbalik semula kepada persoalan pendirian beliau terhadap ICERD. Kita ingin mempertikaikan kefahaman Doktor Falsafah (baca: Janggal) ini mengenai penyertaan Malaysia sebagai negara anggota dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Apakah beliau mengerti akan hak-hak demokratik yang memberi kebebasan premis kepada negara anggota dalam menyatakan pendirian masing-masing?

Atau beliau mempunyai pandangan ianya adalah menjadi suatu keterikatan secara shackling contract (kontrak yang membelenggu) pada negara anggota di persada antarabangsa untuk sentiasa menunjukkan kebersamaan dalam apa-apa persidangan yang menurut definisi sebahagian besar negara anggota PBB sebagai ‘melestari semangat humanitarian’ dalam satu-satu isu.

Dakwaan beliau mempertikaikan bahawa mengapa kita (baca: Umat Islam di Malaysia) menjadi liar seolah dunia akan kiamat jika kita menerimanya, dan mengapa kita hilang rasional sedangkan ini peluang menegaskan keunggulan Islam menentang penindasan kaum; sekali lagi beliau memberi gambaran janggal mengenai kefahaman dalam konteks meratifikasi sesuatu konvensyen antarabangsa seperti ICERD ini.

Kita mahu bertanya kepada beliau, sejak bilakah dianggap meratifikasi sesuatu konvensyen di peringkat PBB boleh menegaskan keunggulan Islam menentang penindasan kaum?

Kalau pun begitu faktanya, semenjak 1965 ICERD diadaptasi hingga kini, celah manakah negara-negara Islam OIC seperti dakwaan beliau, yang telah meratifikasi ICERD ini telah menonjolkan pendirian Islam mereka dalam menentang penindasan kaum?

Apakah keanggotaan Algeria dan Turki yang dipilih sebagai ahli dalam Jawatankuasa berkenaan Penghapusan terhadap Penindasan Kaum (CERD) yang terkini telah menonjolkan pendirian Islam mereka menentang penindasan kaum?

Bagaimana pula dengan perlantikan negara kelahiran pengganas seperti Amerika yang menghantar tentera penghapusan di Palestin dan Iraq, atau negara China yang terang-terang menindas kaum Uyghur di negara sehingga ke hari ini boleh pula kedua-duanya menjadi Naib Pengerusi Jawatankuasa CERD ini!

Yang kita tahu, merujuk rekod semenjak adaptasinya, ICERD di bawah Bab IV Hak Asasi Manusia PBB telah membuka ruang penafsiran ‘diskriminasi kaum’ oleh mana-mana negara luar untuk membuka kes bantahan terhadap sesuatu negara.

Sebagai contoh, yang terbaru pada tahun 2017, Ukraine memfailkan kes kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa terhadap diskriminasi kaum Crimean Tatars yang dilakukan oleh Russia berikutan penaklukan ketenteraan di Republik Autonomi Crimea.

Pada tahun-tahun sebelumnya, beberapa buah negara telah meminda dan memansuh akta-akta dalaman bagi memenuhi tuntutan ICERD, sebagai contoh; Canadian Human Rights Act 1967 di Kanada, Racial Discrimination Act 1975 di Australia, atau Race Relations Acts 1971 di New Zealand.

Kita tidak nafikan akta-akta sedia ada di negara-negara tersebut yang pada awalnya mempunyai peruntukan berunsur diskriminasi pada kaum-kaum tertentu, namun isu yang perlu dilihat ialah sejauh mana kita mampu memastikan bahawa keluhuran perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang sedia ada di negara kita akan sentiasa dijamin terpelihara daripada penafsiran ‘diskriminasi kaum’ menurut kefahaman negara luar atau mana-mana pihak dalam
negara (baca: DAP) yang berkepentingan, sekiranya Malaysia meratifikasi ICERD dan konvensyen-konvensyen lain yang berkaitan. Mengapa mesti dibuka laluan ke arah itu?

Yang Berkhidmat Dr. (Janggal) dan sekutunya dalam isu ICERD ini perlu memahami bahawa perkara yang paling dibimbangi dalam kalangan rakyat dan tokoh-tokoh yang lantang dalam membantah isu ICERD ini bukan hanya sekadar kerisauan pada campur tangan asing terhadap kedaulatan negara ini semata-mata.

Namun, pengiktirafan Malaysia pada ICERD (jika berlaku) malah akan membuka ruang sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia untuk merencana polisi atau tindakan yang bersifat ‘antidiskriminasi kaum’ (menurut pemahaman logikal mereka) yang berpotensi menatijahkan pula kepada peminggiran kaum Bumiputera pada sektor-sektor ekonomi, politik dan sosial, yang sudahpun sedia ada membarah walaupun tanpa ICERD.

Perlu dijelaskan, penafsiran ‘diskriminasi’ dalam masyarakat tidak perlu pindaan undang-undang! Ia boleh berlaku dalam pelantikan jawatan-jawatan penting dalam kabinet dan parlimen misalnya, pengambilan pekerja dalam sektor swasta, pengambilan kemasukan pelajar di institusi pengajian tinggi swasta, peruntukan biasiswa oleh syarikat swasta kepada pelajar, pemberian kewarganegaraan kepada kaum lain secara longgar atau penempatan kaum bukan bumiputera di kawasan-kawasan bandar.

Kesan ratifikasi bahkan bakal memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk sewenang-wenangnya mengatakan bahawa mengambil semangat ICERD lebih utama daripada menjunjung perlembagaan, kerana ICERD lebih global, lebih professional, lebih demokratik!

Kita juga mahu mengingatkan Dr. (Janggal) dan sekutunya, persamaan kebetulan pada prinsip asas antara dua dasar yang jelas berbeza dalam satu-satu perkara tidak semestinya sama pada akar umbi, motif dan perlaksanaannya. Malah persamaan konsep antara dua anutan yang berbeza juga sedikitpun tidak bermaksud kita boleh meraikan persamaan tersebut untuk diadaptasi dalam konteks anutan masing-masing.

Sebagai contoh, persamaan konsep keadilan ekonomi terhadap golongan miskin antara dasar komunisme garapan Karl Marx dengan prinsip-prinsip ekonomi perundangan dalam Islam tidak langsung bermaksud Islam mengiktiraf komunis
dan sosialis!

Meskipun berbetulan semangat ICERD dan prinsip Islam dalam menentang penindasan kaum, hal ini tidak menjadikan kita sewenang-wenangnya boleh bersetuju secara accession, succession atau ratification dengan ICERD. Perlu diketahui ICERD ini melalui penubuhan jawatankuasa CERD sahaja boleh dipertikaikan, apatah lagi mekanisme kebebasan dalam perlaksanaanya yang sukar digarap.

Kita perlu jelas bahawa benar seperti yang diutarakan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah menerusi hansard Parlimen pada 21 November yang lalu bahawa Malaysia bertanggungjawab menghantar laporan rasmi kepada PBB menerusi Universal Periodic Review (UN-UPR) secara berkala dan perlu bersedia menerima komen dan desakan dari negara lain kesan dari tidak meratifikasi ICERD.

Namun, hal ini tidak sesekali bermakna Malaysia bebas dari desakan luar sekiranya bersetuju meratifikasi ICERD.

Boleh jadi akan datang pula desakan negara peserta ICERD supaya Malaysia memansuhkan perlembagaan dan undang-undang sedia ada berkenaan ‘diskriminasi’ kaum, malah Malaysia perlu menghantar laporan secara berkala pula mengenai progres implementasinya, membuka ruang spesifik yang lebih luas untuk pihak luar mempertikaikan dasar sedia ada dalam Malaysia.

Tidak mustahil boleh berlakunya pakatan dari dalam dan luar negara untuk mendesak kerajaan Malaysia mengimplementasi dasar-dasar ICERD melalui program-program kerajaan, peruntukan bajet mahupun pindaan Perlembagaan.

Tidak mustahil kempen-kempen desakan akan dimainkan oleh media-media propaganda Barat mahupun tempatan, malah doktrinisasi berlanjutan separa sedar mengenai kesamarataan kaum ini telah pun berjalan meskipun Malaysia tidak meratifikasi ICERD!

Malaysia terkenal berdasarkan rekod sebagai sebuah negara yang kritis dalam menyuarakan mengenai hak asasi manusia di PBB melalui kepimpinan Tun Dr Mahathir, era beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4.

Malah individu yang sama juga lantang menyuarakan pendirian terhadap isu antarabangsa lewat September 2018 yang lalu, dalam Perhimpunan Agung PBB ke73, khususnya dalam isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, dan isu Rohingya.

Kita berharap Dr. (Janggal) dan sekutunya faham, menjadi vokal dan lantang menyuarakan isu hak asasi manusia khususnya berkenaan diskriminasi kaum di persada antarabangsa tidak perlu dengan ratifikasi ICERD yang menuntut komitmen daripada negara-negara yang menyertainya, bahkan ICERD hanya berperanan kecil sahaja dalam organisasi PBB di bawah pantauan Majlis Hak Asasi Manusia (HCR) berbanding peranan penting yang dimainkan menerusi enam Principal Organs PBB yang lain.

Peranan Malaysia di persada antarabangsa tidak dinafikan semenjak penyertaannya pada 1957, lebih-lebih lagi sumbangannya dalam Majlis Keselamatan PBB, bermula tahun 1965 hingga 2016, antara lainnya menghantar pasukan tentera pengaman dan perlindungan di negara konflik seperti Congo, Bosnia dan Herzegovina, Somalia dan Lubnan.

Persoalannya, celah manakah dakwaan Dr. (Janggal) yang dikatakan peluang untuk Malaysia maju ke hadapan terbantut dengan semata-mata tidak meratifikasi ICERD?

Keahlian negara Malaysia dalam PBB bukanlah begitu signifikan seperti negara-negara berkeahlian tetap (permanent members) yang mempunyai kuasa veto dalam PBB untuk menentukan persetujuan pada apa-apa resolusi berbentuk substantif, sehingga mendesak kita perlu menonjol.

Tidak dinafikan sumbangan Malaysia dalam PBB khususnya dalam isu melibatkan konflik negara asing selama ini amat signifikan dalam memberi kesan kepada kedaulatan negara-negara tersebut, namun Malaysia tidak perlu bergantung pada PBB untuk menentukan dasar dan halatuju negara sendiri, sehingga perlu mengikat diri pada ICERD dan konvensyen-konvensyen lain yang berupaya memberi kesan negatif pada kedaulatan negara dalam jangka masa yang panjang.

Keanggotaan dan peranan PBB itu sendiri banyak cacat celanya, sebagai contoh, antaranya meluluskan resolusi pemisahan negara Palestin 1947 antara kaum Arab dan kaum Yahudi (Jews) sehingga tertubuhnya Israel.

Bahkan, ketegasan pendirian dasar luar Malaysia sendiri tanpa desakan dan pengaruh PBB sudah memadai apabila Malaysia sendiri tidak mengiktiraf negara haram Israel semenjak kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

Hal ini sahaja cukup membuktikan keseriusan Malaysia dalam isu-isu melibatkan penindasan kaum dan hak asasi manusia tanpa perlunya ICERD!

Justeru, kita menyeru sekiranya ada sekelumit rasa kecintaan pada tanah air dalam sanubari Dr. dan sekian sekutunya yang masih berdolak-dalih, ayuhlah bersama-sama mempertahankan negara kita menurut Rukunnya yang telah sedia ada harmoni, di samping berhati-hati dalam mencetuskan idea-idea yang bersifat janggal demi kesejahteraan rakyat dan negara khususnya.

Tolak ICERD dan jalan terus!

Syafiq Kamil

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close