Berita Utama

Bukan sekadar tangkap penjenayah, perlu juga jalankan risikan

Disiplin polis laksana tugas dengan jujur: Musa Hassan

BANGI, 19 Syaaban 1442H, Khamis – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, tindakan perlu diambil terhadap pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan penjenayah.

Gesaan itu susulan pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa ada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu sindiket jenayah terancang Geng Nicky yang didalangi Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Difahamkan, kebocoran maklumat mengenai Operasi Pelican 3.0 yang dilaksanakan oleh Polis Kontinjen Johor, mengenai serbuan yang bakal dilaksanakan di kawasan Setia Walk, Puchong, menyebabkan Nicky melarikan diri.

Nicky, 33, dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis dan agensi penguat kuasa lain yang berada di bawah kawalannya. Turut berada dalam kawalan lelaki itu adalah Timbalan Pendakwa Raya.

Berikutan itu, Musa Hassan berkata, dalam setiap organisasi – termasuk polis – akan ada individu yang serius mahu buat kerja dan juga mereka yang kadangkala dipanggil kambing hitam.

“Ini kerana polis satu pasukan yang berdisiplin. Setiap pegawai polis yang dilantik masuk ke dalam pasukan, mereka diajar tentang disiplin.

“Mereka tahu bahawa mereka perlu menjalankan tugas dengan jujur dan sekiranya menyeleweng mereka akan diambil tindakan. Itu disiplin polis,” katanya dalam program Kerusi Panas di TV Pertiwi, malam tadi.

Beliau berkata, tugas polis bukan sahaja mengambil tindakan untuk menangkap penjenayah bahkan ada kalanya menjalankan risikan.

Katanya, dalam menjalankan risikan, kadang kala ada anggota polis terpaksa menyertai kumpulan jenayah tersebut untuk mendapatkan maklumat.

Sebagai contoh dalam menguatkuasakan undang-undang dadah, Musa Hassan berkata, ada polis yang menyamar sebagai penagih, pembeli untuk menangkap pengedar.

“Jadi mereka (mainkan peranan itu) dalam kita cuba menguatkuasakan undang-undang tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau beranggapan sukar bagi anggota terbabit menjadi ‘double agent’ kerana mereka dipantau oleh ketua.

“Kalau dia nak terlibat dengan sindiket itu – ‘double agent’ – kita kena ambil tindakan.

“Pernah ada dahulu anggota membantu pula dari dapatkan maklumat untuk beri pada polis. Dia ditangkap dan dibuang kerja,” katanya.

https://fb.watch/4ARcT6m1Kb/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button