Berita UtamaDuniaUtama

Polis serbu dua vila cari mayat Jamal Khashoggi

Turki percaya suspek hubungi pemilik vila sehari sebelum pembunuhan

ISTANBUL, 19 Rabiulawal 1440H, Selasa – Polis Turki menyerbu dua vila di wilayah barat laut Turki, Yalova semalam, dalam usaha meneruskan siasatan pembunuhan wartawan terkenal Arab Saudi, Jamal Khashoggi.

Pasukan polis dilaporkan tiba di dua vila berkenaan dan melakukan pencarian di kawasan sekitarnya bagi mengesan mayat mangsa yang sehingga kini masih belum ditemui.

Anjing dan dron polis digunakan dalam operasi mencari yang diarahkan pejabat pendakwa raya Istanbul itu. Kenderaan bomba juga dilaporkan berada di tempat kejadian.

Pejabat itu berkata, salah satu vila terbabit adalah milik ahli perniagaan Arab Saudi, Mohammed Ahmed Alfaouzan yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Putra Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.

Menurut media Turki, Alfaouzan menerima panggilan telefon daripada salah seorang ejen Arab Saudi, Mansour Othman Abahussain yang didakwa terlibat dalam pembunuhan wartawan Washington Post itu.

Difahamkan, pihak berkuasa Turki percaya Mansour Othman telah menghubungi Alfaouzan yang mempunyai nama kod ‘Ghozan’, sehari sebelum pembunuhan berlaku.

Alfaouzan dilaporkan telah membeli hartanah yang terletak dekat Yalova, Laut Marmara itu kira-kira tiga tahun lalu.

Khashoggi, yang melarikan diri ke Amerika Syarikat tahun lalu, dibunuh sepasukan anggota perisikan dari Riyadh. Sebahagian daripada anggota kumpulan itu adalah mereka yang rapat dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Arab Saudi sebelum ini memberi pelbagai versi kenyataan berhubung kehilangan Khashoggi, termasuk mendakwa penulis itu sudah keluar dari pejabat konsulat berkenaan selepas urusannya selesai.

Riyadh kemudian mengesahkan Khashoggi terbunuh dalam pergaduhan dengan individu yang menemuinya di dalam pejabat konsulat itu dan berkata, 18 suspek kes berkenaan ditangkap, manakala seorang pegawai tertinggi perisikan berpangkat jeneral dipecat. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close