Berita UtamaUtama

Tuduhan Exco DAP Selangor bahaya, melaga-lagakan penganut dua agama

Laporan polis mesti dibuat terhadap tuduhan V Ganabatirau bahawa umat Islam menyerang kuil di Subang Jaya awal pagi tadi

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 18 Rabiulawal 1440H, Isnin – Ahli Exco Selangor, V Ganabatirau mesti disiasat segera kerana memberi kenyataan yang mengembangkan perasaan berniat jahat, permusuhan dan kebencian antara kaum di negara ini, berikutan isu Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, hari ini.

Aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ) yang juga peguam, Aidil Khalid berkata, kenyataan Ganabatirau yang menuduh umat Islam menyerang kuil berkenaan, adalah berbahaya kerana melaga-lagakan antara dua komuniti agama di negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Malaysia, khususnya umat Islam atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Exco daripada parti terbabit.

Menyifatkan tuduhan bahawa umat Islam menjadi punca rusuhan awal pagi tadi sebagai tindakan biadap, beliau berkata, siasatan mengikut Seksyen 505(b) dan (c) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang melaga-lagakan di antara dua komuniti agama, hendaklah dilakukan segera.

Ini kerana, apa yang dinyatakan pemimpin DAP itu satu tuduhan tidak tepat.

“Ganabatirau juga boleh disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dibaca bersama Seksyen 3(1)(e), iaitu mengembangkan perasaan niat jahat, permusuhan dan kebencian antara kaum,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Kemuning dalam satu kenyataan di Facebooknya yang mendakwa sekumpulan orang Islam menyerang Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya, awal pagi tadi.

Tanpa mengemukakan bukti, dia menuduh serangan sekumpulan muslim itu menunjukkan terdapat cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian di kalangan kaum yang hidup aman damai selama ini.

Bagaimanapun Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor menegaskan, tiada unsur perkauman dalam kejadian rusuhan, dan hanya membabitkan perselisihan faham antara dua kumpulan saja.

Serentak itu, Aidil berharap laporan polis dibuat bagi membolehkan Ganabatirau direman untuk disiasat.

Dalam kejadian awal pagi tadi, 18 kenderaan terbakar apabila dua kumpulan merusuh berhubung isu pemindahan kuil berkenaan.

Dua lelaki juga cedera dan difahamkan kedua-duanya sudah ditangkap untuk siasatan lanjut.

Pada 28 September lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan satu notis yang mengarahkan penghuni kuil itu mengosongkan tapak berkenaan pada atau sebelum 15 Oktober lalu.

Bagaimanapun, pada 25 Oktober lalu, kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan ketika urusan pemindahan dijalankan.

Exco DAP Selangor tuduh umat Islam serang kuil Subang Jaya

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close