Berita UtamaPendapatUtama

Gerakan tolak ICERD ada matlamat, bukan seperti Bersih

Kongres dan himpunan bukti solidariti rakyat pertahan Perlembagaan

JIKA sebelum ini kamu termasuk antara yang menuntut kerajaan agar menolak ICERD; dan kini apabila kerajaan telah pun memenuhi tuntutan itu dengan menyatakan komitmen tidak akan meratifikasi ICERD, tapi kamu pula tiba-tiba merasa tak puas hati atas keputusan kerajaan itu — maka jelaslah bahawa niat kamu bukan sebenar-benarnya untuk menentang ICERD dan mempertahankan Perlembagaan, sebaliknya kamu sekadar penunggang isu ICERD sebagai bahan politik untuk menentang kerajaan.

Sebab itu, apabila kerajaan dah penuhi tuntutan, kamu rasa tak puas hati, kerana sudah tak boleh dijadikan modal politik. Maka kamu pun keluarkan komen: “Ala, takkan baru kena gertak nak himpun, kerajaan dah takut?”

Kita sepatutnya bersyukur apabila tuntutan telah dipenuhi, tapi kamu pula marah apabila tuntutan dipenuhi.

Orang seperti ini tidak kisah pun berkenaan Perlembagaan dan kedudukan agama, bangsa dan negara. Mereka cuma nak berpaut kepada sebarang sahaja isu yang boleh dipergunakan untuk kepentingan politik. Berhati-hatilah dengan orang yang sebegini.

Pun demikian, dalam masa yang sama, Kongres Tolak ICERD dan Himpunan Mega Rakyat Tolak ICERD (8 Disember) tetap diteruskan, sebab sejak dari mula, Kongres dan Himpunan ini tidak pernah pun dimaksudkan untuk melawan kerajaan. Ia adalah Kongres dan Himpunan bagi menunjukan solidariti rakyat bagi mempertahankan keutuhan Perlembagaan.

Hanya orang yang tak faham matlamat Kongres dan Himpunan tersebut sahaja yang akan kata, sudah tidak perlu berhimpun lagi, memandangkan kerajaan telah bersetuju — seolah-olah Kongres dan Himpunan tersebut nak disamakan dengan Bersih yang jika berhimpun tiada matlamat lain selain menggulingkan kerajaan.

Gerakan tolak ICERD bukan macam Bersih. Kita ada matlamat jelas, iaitu mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan negara.

Justeru selagi mana wujud anasir-anasir anti-Perlembagaan seperti Menteri rasis Waytha Moorthy, Suhakam, Sisters in Islam, Lawyers for Liberty, Bebas, dan pelbagai lagi kelompok yang lantang mendesak agar keluhuran Perlembagaan dirombak dan dirungkai, selagi itulah rakyat perlu terus menunjukkan kesatuan menolak ICERD dan anasir anti-Perlembagaan.

Baca sahaja berita-berita hari ini, dan lihat bagaimana anasir-anasir anti-Perlembagaan meneruskan tekanan mereka agar kerajaan mengubah pendirian semula. Takkan gerakan Tolak ICERD nak senyap sahaja?

Justeru Kongres Tolak Icerd hari ini dan Himpunan Mega 8 Disember, perlu jalan terus!

Aidil Khalid
Pengamal Undang-Undang

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close