Berita UtamaUtama

Tetapkan pemikiran bahawa kuasa pemerintahan milik umat Islam

Dominasi Islam di Malaysia semakin lemah selepas PRU12

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 16 Rabiulawal 1440H, Sabtu – Umat Islam perlu menerapkan dalam pemikiran bahawa kuasa pemerintahan adalah milik mereka, tegas Ketua Penyelidik Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman.

Penerapan pemikiran ini, katanya, diambil daripada kitab suci al-Quran yang menyatakan bahawa umat Islam adalah khilafah di atas muka bumi ini.

“Kena ada dalam kepala kita, kepimpinan itu milik kita. Seharusnya kuasa pemerintahan berlegar dalam tangan orang Islam semata-mata.

“Kalau perlu pun berkongsi kuasa dengan orang bukan Islam seperti mana situasi pada hari ini, macam mana bebasnya orang bukan Islam dibenarkan berpolitik, kita tetap kena pastikan umat Islam dominan,” katanya dalam Forum Malaysia Negara Islam: Wilayah Yang Wajib Dipertahankan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan dominasi ini semakin melemah selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang ditandakan oleh para sarjana sains politik sebagai bermulanya era kontra hegemoni Melayu.

Manakala, keputusan PRU14 pula lebih jelas menampakkan umat Islam sudah kehilangan dominasi kuasa politik, daripada bilangan kerusi ahli Parlimen memerintahnya dan juga dominasi yang dipegang oleh parti yang beraliran sekular dan liberal.

“Sudahlah dominasi ekonomi dalam tangan dia, ini kuasa politik pula nak diserahkan. Kita kena faham bahawa parti itu dibenarkan bebas, tetapi kita sebagai umat Islam sepatutnya tidak diberikan kepada mereka kuasa. Tapi perkara ini berlaku.

“Kalau pun kita tak dominan, kita tidak kata mana-mana pihak adalah dominan. Ini adalah pluralisme politik,” katanya.

Justeru, beliau berkata, adalah wajib untuk umat Islam mendapatkan kembali dominasi kuasa ini dan ia dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu muslim yang mukallaf.

“Apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan, perlu diperkasakan, kita kena pastikan kuasa itu kena kembali kepada dominasi umat Islam,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close