Berita UtamaPendapat

Maulidur Rasul: Contohi sunnah Rasulullah dalam bernegara

Marilah bersikap jujur, setia kepada Baginda dan lawan godaan nafsu

SELAWAT dan Salam ke atas junjungan mulia, pemimpin abadi umat Islam, Muhammad Rasulullah ﷺ

Marilah kita selaku umatnya yang setia mencontohi jejak langkah Baginda Rasul ﷺ

Dalam mengurus kemajmukan masyarakat di Madinah, berikut adalah sunnah yang Baginda asaskan dan seharusnya dicontohi oleh kita semua (seperti yang ternukil dalam Sahifah Madinah):

1. Sebuah negara mesti memiliki kepimpinan yang berasaskan kepada kepercayaan dan ideologi tertentu. Mustahil sebuah negara memiliki vakum kepimpinan berasaskan sesebuah kepercayaan. Di setiap masa pasti ada satu yang perlu mendominasi dan menjadi tonggak untuk wujud kestabilan dan urusan kehidupan berjalan. Rasulullah menegaskan dalam sebuah negara Islam, kepimpinan orang Islam (Rasulullah ﷺ) didokong oleh umat Islam (Ansar dan Muhajirin) adalah suatu hak keistimewaan yang perlu dijamin oleh Sahifah Madinah secara ‘explicit’.

Jika ini tidak termaktub maka semua komponen masyarakat akan saling berebut untuk menegakkan kepimpinan atas kepercayaan masing-masing. Orang Islam bertanggungjawab secara politik untuk mengekalkan hak keistimewaan Islam dalam sebuah negara Islam iaitu memerintahnya dengan penuh berdaulat menurut syariat Islam.

2. Dalam pembinaan negara, identiti bangsa, ras, atau kaum adalah identiti yang ‘given‘ dan seharusnya dipandu agar menjadi sebuah identiti yang menghasilkan perasaan positif dan membina. Unsur baik dalam setiap kaum perlu dipupuk dan dikembangkan manakala unsur buruk perlu disekat dan dididik agar surut.

Oleh itu Rasulullah ﷺ menyatakan satu persatu nama setiap kaum yang ada di Madinah sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap identiti itu, dan tidak mengarahkan agar seluruh penduduk Madinah meleburkan atau menghapuskan identiti kaum masing-masing.

Pada masa yang sama, semangat kesatuan dalam lingkaran identiti itu dibawa masuk ke dalam kesatuan yang lebih besar di bawah naungan kepimpinan Rasulullah ﷺ Ini mengelakkan berlaku ekstremisasi terhadap identiti kaum (samada terlalu semangat sesama satu kaum sehingga menggadai kemaslahatan umum atau terus meleburkan identiti satu kaum sehingga hilang aset kesatuan dan lupa asal-usul serta sejarah).

3. Dalam sesebuah negara yang ingin kekal stabil, hak diberikan kepada penduduknya berkadaran dengan tanggungjawab yang sanggup dipikul. Rasulullah memberikan hak keistimewaan pemerintahan kepada orang Islam kerana orang Islam mengambil tanggungjawab berat untuk memelihara kepercayaan negara (aqidah Islam) dan pemimpin yang membawa kepercayaan itu (Rasulullah ﷺ), sehingga negara Madinah boleh beroperasi sebagai sebuah negara yang mencerminkan ajaran Islam.

Manakala orang Yahudi diberikan hak keselamatan dan lain-lain hak yang perlu sebagai penduduk berdasarkan tanggungjawab ‘contractual’ yang mereka sedia terima iaitu bersama pertahankan negara daripada serangan Quraisy dan tidak khianat. Orang Yahudi yang khianat diusir keluar daripada Madinah dan hilang kelayakan daripada setiap hak kerana melanggar tanggungjawab yang telah mereka meterai.

Semua perkara di atas adalah jelas tanpa kabur dalam Sahifah Madinah.

Sempena memperingati kelahiran Rasulullah ﷺ yang kita cintai, mari kita pilih untuk berlaku jujur dan berlaku setia kepada Baginda dan melawan godaan nafsu kita untuk lebih cenderung kepada format dan kerangka kehidupan yang tidak pernah Baginda ajarkan kepada kita semua.

UstazSyed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim 
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close