Berita UtamaUtama

Segerakan penguatkuasaan vape, shisha tanpa nikotin

Peraturan perlu selari dengan pewartaan premis tanpa asap rokok

BANGI, 11 Rabiulawal 1440H, Isnin – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menggesa pihak kerajaan mempercepatkan penguatkuasaan peraturan membabitkan rokok elektronik tanpa nikotin, supaya selari dengan pewartaan premis makanan tanpa asap rokok mulai 1 Januari tahun depan.

Ketua Unit Kawalan Rokok dan Vape I-Medik, Dr Ahmad Farid Nazmi Abdul Halim berkata, masih terdapat limitasi terhadap kawalan rokok elektronik tanpa nikotin, walaupun ia tidak termasuk dalam Seksyen 36 (2) (d) di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

Beliau berkata, rokok elektronik dan shisha tanpa nikotin juga adalah budaya yang tidak sihat sama seperti produk bernikotin lain.

“Menurut Kajian Kebangsaan Rokok Elektronik/Vape Dalam Kalangan Dewasa dan Remaja 2016, 300,000 (9.1 peratus) pelajar merupakan pengguna rokok elektronik dan vape semasa, di mana daripada jumlah tersebut, 83.3 peratus adalah pelajar lelaki berbanding 16.7 peratus pelajar perempuan.

“Alasan utama di kalangan remaja untuk memulakan penggunaan rokok elektronik/vape adalah kerana suka dengan perisa dan bau iaitu 77.3 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut Dr Ahmad Farid berkata, lebih 60 peratus menggunakannya kerana ingin bereksperimentasi dan merasakan rokok elektronik serta vape lebih selamat berbanding rokok biasa.

“Budaya ini adalah budaya yang tidak sihat. Tabiat merokok terbukti membahayakan kesihatan dan merugikan ekonomi orang yang ketagih dengan tabiat merokok.

“Para remaja diingatkan supaya tidak memulakan tabiat merokok yang merugikan ini. Ibu bapa dan guru juga perlu mengawasi golongan remaja supaya tidak memulakan tabiat buruk merokok,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, rokok elektronik dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019.

Bagaimanapun katanya, kementerian masih dalam peringkat perbincangan untuk menguatkuasakan peraturan melibatkan vape dan shisha dalam masa terdekat.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close