Berita UtamaPendapatUncategorizedUtama

Mengapa orang Melayu bantah ICERD?

Orang Melayu tidak sama dengan orang Cina dan India, dari segi pemilikan terhadap tanah air

1. SAYA telah menulis tentang ketuanan Melayu pada tahun 2013 dan diterbitkan dalam Berita Harian, saya nyatakan bahawa istilah ketuanan Melayu bukanlah suatu bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap kaum lain kerana ia tidak bermaksud memperhambakan mana-mana kaum, dan kerana penindasan dan penghambaan mana-mana kaum tidak pernah berlakupun dalam sejarah Malaysia. Ia hanya bermaksud orang Melayu sebagai tuan rumah yang semestinya mempunyai hak istimewa yang perlu dipelihara. makalah tersebut boleh diakses di blog saya…https://khalifmuammar.wordpress.com/…/ketuanan-melayu-dan…/…

2. Mustafa Akyol, seorang penulis yang berasal dari Turki, dilaporkan oleh FMT telah mengkritik umat Islam dan orang Melayu yang menolak ratifikasi ICERD sebagai dianggap telah mendiskriminasikan orang bukan Islam di negara ini. Beliau memberi hujah bahawa di zaman Turki Usmani pun orang bukan Islam mempunyai hak sama rata.

Pertama sekali dalam kutipan yang disebut oleh Akyol tersebut tidak disebutkan tentang konsep equality yang difahami di Barat pada hari ini, ia hanya menyebut kesaksamaan di hadapan undang-undang (equality before the law) dan prinsip ini sama sekali tidak ada hubungannya dengan ketuanan Melayu mahupun penolakan terhadap ICERD. Ada atau tiada ketuanan Melayu, ada atau tiada ICERD, setiap individu di negara ini perlu diperlakukan secara adil dan saksama di hadapan undang-undang, itu termaktub dalam perlembagaan.

Kedua, Akyol, yang bukan seorang sarjana (scholar) melainkan seorang penulis biasa, apalagi untuk dirujuk sebagai sarjana yang berautoriti untuk bercakap tentang Islam (di sini tampak wartawan telah bias), tidak dapat membezakan antara konsep keadilan dan kesamarataan (equality). Sama juga dengan YB Khalid Samad yang menuduh orang yang menolak ICERD sebagai pro penindasan dan diskriminasi terhadap orang bukan Islam atau bukan Melayu/ Bumiputera.

Prof Madya Dr Khalif Muammar bin A.Harris

 3. ICERD hanya menjamin kesamarataan dan tidak menjamin keadilan. Kesamarataan tidak sama dengan keadilan, malah kesamarataan boleh membawa kepada ketidakadilan. Dengan kesamarataan keistimewaan orang Melayu akan hilang, kedudukan Islam yang luhur dalam perlembagaan akan terhapus, atau hanya tinggal nama. Semua agama akan disama ratakan, semua kaum akan dilihat secara sama rata, yang sudah tentu akan merugikan orang Melayu.

Orang Melayu tidak sama dengan orang Cina dan India, dari segi kepemilikan terhadap tanah air. Islam juga tidak sama dengan agama lain, kerana Islam telah menjadi agama negara (kerajaan Melayu) sejak seribu tahun yang lalu di Kepulauan alam Melayu ini. Raja-raja Melayu dan undang-undang Islam telah berdaulat dari seribu tahun yang lalu sehingga ke hari ini. Menghapuskan perkara ini akan menjadi ketidakadilan kepada orang Islam dan Melayu.

4. Keadilan mengiktiraf perbezaan, sedangkan kesamarataan menyamarakan orang yang berbeza. Pemerintah yang adil akan memberi perhatian yang lebih kepada rakyat yang miskin dan lemah berbanding rakyat yang kaya dan kuat. Ibu bapa yang adil akan memberi perhatian yang lebih kepada anak yang lemah dan kurang serba serbinya, bukan kerana mereka pilih kasih, tetapi kerana itu yang perlu dilakukan untuk memastikan semua pihak berjaya, dan kepentingan setiap pihak terpelihara.

Apabila Ibu bapa menyamaratakan semua anak, maka ia telah berlaku zalim kepada anak yang memerlukan perhatian lebih dan Ibu bapa dianggap telah meminggirkan anaknya sendiri. Perbezaan yang diberikan itu bukan diskriminasi dan penindasan, kerana ia adalah perbezaan yang sah dan semestinya diakui oleh semua pihak. Hanya orang yang rakus dan tidak bertimbang rasa yang akan menafikannya.

Keistimewaan orang Melayu diberikan untuk melindungi orang Melayu daripada menjadi terpinggir di tanah air sendiri. Jika dengan affirmative action ini pun orang Melayu masih terkebelakang, maka sudah tentu tanpa affirmative action orang Melayu sudah lama menjadi hamba kepada bangsa lain.

Prof Madya Dr Khalif Muammar bin A.Harris 
Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close