Berita UtamaUtama

Pemuda UMNO desak Waytha Moorthy letak jawatan

Menteri perpaduan lebih cenderung bangkit isu yang mencetuskan kemarahan rakyat, api permusuhan di antara kaum: Asyraf Wajdi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 10 Rabiulawal 1440H, Ahad – Pemuda UMNO hari ini mendesak Senator P Waytha Moorthy meletakkan jawatan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Desakan itu susulan tular video lama Waytha Moorthy yang ketika itu pemimpin utama pertubuhan radikal, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) memburuk-burukkan Malaysia kepada negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berupa fitnah.

Menerusi video berdurasi lebih dua minit berkenaan, Waytha mendakwa kaum India telah didiskriminasi dalam pelbagai perkara bermula daripada hak beragama.

Dia mendakwa kebanyakan kaum India yang menganut agama Hindu dipaksa untuk menukar agama jika mahu bekerja dalam jabatan kerajaan dan untuk mendapatkan tajaan biasiswa.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan Waytha Moorthy itu menggambarkan seolah-olah Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan teruk kepada kaum serta penganut agama lain.

“Sehingga kini beliau tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat yang dilakukan beliau sebagaimana yang ditularkan melalui video berdurasi 2 minit 39 saat itu.

“Lebih mendukacitakan apabila sejak menjadi Menteri yang sepatutnya mempromosi perpaduan kaum dan pelbagai agama, beliau lebih cenderung untuk membangkitkan isu-isu yang mampu mencetus gelodak kemarahan rakyat dan membangkitkan api permusuhan di antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, Asyraf berkata, inisiatif terbaru Waytha Moorthy untuk mengheret negara meratifikasi dan mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya menzahirkan kesombongan serta keangkuhannya semata-mata.

Walhal katanya, kerajaan sedar bahawa majoriti rakyat melihat konvensyen antarabangsa itu sebagai isu sensitif yang mencabar hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Justeru, Pemuda UMNO mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan menteri secara terhormat dan bermaruah atas kegagalan menguruskan isu-isu perkauman, keagamaan dan perpaduan dengan bijak.

“Malah imej radikal beliau ketika memimpin Hindraf hanya akan mengundang krisis keyakinan rakyat akan masa depan keharmonian negara berbilang agama dan kaum di negara ini.

“Pemuda juga menggesa P Waytha Moorthy juga agar menarik balik segala kenyataan fitnah dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas pengkhianatan beliau memburuk-burukkan negara di mata Negara-negara luar,” katanya.

BERITA BERKAITAN: 

VIDEO | PM patut pecat Waytha Moorthy sebagai menteri

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close