Dr Ahmad Sanusi AzmiPendapatUtama

Khatan wanita bukan sekadar budaya


1. SUHAKAM dilaporkan mengkritik pendirian kerajaan berhubung isu khatan wanita. Putrajaya dikatakan tidak memberikan penjelasan yang jelas berhubung perkara ini. Ekoran dari kritikan itu, Dr Wan Azizah menyatakan amalan yang telah menjadi budaya setempat akan dibincangkan semula. Kata beliau: “Kita akan bincang dan lihat jika ia tidak memberi sebarang kebaikan, jadi kita perlu lakukan sesuatu.”

2. Amalan khatan ini pada hakikatnya bukanlah sekadar budaya atau adat setempat sahaja. Pensyariatan khatan mempunyai asas yang kukuh di dalam syarak. Rasulullah bersabda dalam sebuah hadith sahih:

وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ

“Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.” (HR Muslim)

Hadith ini menggambarkan bagaimana yang berkhatan itu bukan sahaja lelaki bahkan perempuan.

3. Perkara ini disokong oleh hadith Ummu Atiyyah yang menyebutkan:

حديث أم عطية رضي الله عنها قالت: إن امرأة كانت تختن بالمدينة، فقال لها النبي صلى الله عليه وسلم: “لا تنهكى، فإن ذلك أحظى للزوج، وأسرى للوجه”

“Ummu Atiyyah berkata: Sesungguhnya para wanita (mengamalkan) khatan di Madinah, lalu Rasulullah berpesan: Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.” (HR Abu Daud)

4. Hadith yang hampir sama juga diriwayatkan oleh Ummu Habibah. Ummu Habibah terkenal dengan tugasannya sebagai bidan dalam perkara ini. Rasulullah bertanya tentang perbuatannya menjalankan khatan perempuan. Lalu Ummu Habibah berkata:

إلا أن يكون حراماً فتنهانى عنه، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “بل هو حلال، فادني منى حتى أعلمك”

“Kata Ummu Habibah: Sekiranya (berkhatan wanita) adalah haram, maka Rasulullah sudah pasti melarangku (dari melakukannya). Bahkan Rasulullah berkata: Ia adalah sesuatu yang halal. Dan Rasulullah memanggil Ummu Habibah lalu berkata: Mari dekat sini, aku ingin berpesan kepadamu tentangnya.” Lalu Rasulullah mengajar Ummu Habibah perkara yang sama seperti yang dinyatakan oleh Ummu Atiyyah dalam hadith di atas (no 3). (HR al-Bayhaqi)

5. Dalam mazhab al-Syafie pula, hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib mengikut pendapat yang masyhur dan seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz (ganjil).

Imam Ahmad turut menyatakan kewajipannya tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulama menyatakan ianya sunat.

(Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi)

6. Perbahasan berhubung khatan di dalam khazanah Fiqh Islam ini menggambarkan kepada kita bahawa amalan ini bukanlah sebagai budaya atau adat setempat sahaja. Ia adalah perkara yang boleh dikategorikan sebagai ibadah, yang dibincangkan panjang lebar oleh sarjana Islam.

7. Akhir sekali, banyak betul perkara yang berkaitan dengan Islam mula dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu. Amalan khatan yang ada dalil pensyariatannya turut mula ingin dibincangkan semula atau dilarang. Yang menghairankan, amalan LGBT tidak pula dilarang sedangkan dalil pengharamnya adalah jelas.

Moga Allah membimbing kita semua.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Oxford Centre for Islamic Studies

Sumber:
1. https://suara.tv/15/11/2018/khatan-wanita-jika-tiada-sebarang-kebaikan-akan-cari-jalan-lain-tpm/?fbclid=IwAR25aog1FeDDaddxZuX7IRSLck-sX6ZUZufvXmpQcAMdx6ahTZ5jFMYfIKw
2. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/11/14/suhakam-kritik-putrajaya-kelirukan-pbb-berhubung-khatan-wanita/
3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/11/498263/isu-khatan-wanita-dibincang-tpm
4. http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1336-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close