Berita UtamaUtama

Kerajaan PH ‘galak’ serang Kelantan

Usaha imbangi ekonomi wilayah diabaikan kerajaan baharu

BANGI, 8 Rabiulawal 1440H, Jumaat – Belanjawan 2019 yang dibentangkan awal bulan lalu, masih mengundang rasa kecewa kepada sebahagian besar rakyat, khususnya di Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak, kata Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi.

Mengakui ada sebahagian rakyat bergembira, namun katanya kesal, pembentangan belanjawan itu tidak menyentuh penambahbaikan negeri Kelantan, walaupun banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Tiada program penambahbaikan tebatan banjir, tiada peruntukan terhadap pembinaan lebuh raya baharu serta penangguhan projek ECRL (Projek Laluan Rel Pantai Timur), itulah harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat negeri Kelantan.

“Malah usaha untuk mengimbangi ekonomi wilayah seperti yang dititahkan oleh Yang Maha Mulia di-Pertuan Agong diabaikan oleh kerajaan baharu ini.

“Kesemua ini adalah duka kepada rakyat Kelantan yang amat mengharapkan kerajaan baharu ini tidak mengulangi kesalahan kerajaan terdahulu, namun apa yang berlaku kerajaan hari ini lebih ‘galak’ menyerang dan merendah-rendahkan kerajaan Kelantan,” katanya seperti dilapor Harakah Daily.

Pada masa sama, beliau turut kecewa kerana tiada peruntukan khusus bagi bantuan musim tengkujuh kepada pekebun-pekebun kecil dan penoreh getah berbanding peruntukan RM261 juta yang disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu.

Dalam pembentangan belanjawan yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera,’ kerajaan memperuntukkan sebanyak RM314.5 bilion untuk Belanjawan 2019 berbanding RM290.4 bilion pada Bajet 2018.

Daripada jumlah tersebut, RM259.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close