Tarbiyyah

Siri II: Dakwah dengan disiplin

Elemen budaya disiplin mampu tingkatkan prestasi gerakan dakwah

DISIPLIN diri dan budaya organisasi yang mantap sudah tentu memerlukan perubahan sikap dan tingkah laku.

Manakala perubahan sikap dan tingkah laku pula harus bermula dengan anjakan paradigma.

Sebagai ahli gerakan Islam yang berasaskan tarbiah yang bertujuan untuk mengubah sikap dan tingkah laku ahli, adalah amat menyedihkan jika kumpulan teras yang menggerakkan jentera penting ini juga lemah disiplinnya.

Ayuh, kita bermula dengan membayangkan situasi ini terlebih dahulu:

Bayangkan anda seorang jeneral tentera yang memimpin satu pasukan tentera yang amat besar dan berteknologi tinggi. Apa sahaja arahan dan strategi yang anda rangka akan dilaksanakan oleh setiap lapisan kepimpinan pasukan dengan penuh komitmen, kesungguhan, kepantasan dan integriti yang amat luar biasa.

Semua pegawai tertinggi akan melapor kepada anda secara berkala perkembangan setiap misi dan aktiviti secara terperinci dan mendalam. Penyampaian dilakukan dengan sangat kemas, ringkas, mudah difahami dan tidak mungkin berlaku salah anggap atau masalah komunikasi yang bakal menjejaskan keputusan. Manakala maklumat yang dibekalkan sangat lengkap, disokong fakta dan statistik serta sukar dipertikaikan.

Lebih dari itu, mereka juga akan melakukan aktiviti perisikan yang dapat membekalkan informasi tambahan kepada anda untuk membuat unjuran, perubahan atau penambahbaikan strategi. Anda juga amat yakin dengan tahap keselamatan data yang dibincangkan, tidak mungkin ada yang terlepas dan jatuh ke tangan orang luar disebabkan ketatnya disiplin menjaga maklumat yang diamalkan dalam pasukan anda.

Malah, sebarang salah laku akan menerima hukuman berat yang amat digeruni. Ini menyebabkan setiap ahli pasukan amat berhati-hati menjaga maklumat, melaksanakan tanggungjawab dan tugas dengan cekap dan penuh dedikasi. Bahkan, setiap denda yang diterima tidak sedikitpun melemahkan semangat malah meningkatkan motivasi untuk sentiasa memperbaiki diri dan melonjakkan prestasi masing-masing. Jika sekadar dimarahi dan ditengking akibat kelekaan menjalan tugas, itu adalah biasa dan tidak sedikitpun menjejaskan emosi dan komitmen mereka.

Selain daripada itu, apa sahaja solusi yang anda berikan terhadap masalah di medan yang dilaporkan kepada anda akan dilaksanakan terus tanpa bertangguh. Tanpa banyak alasan. Tanpa perdebatan.

Anda juga bebas menyusun atur pasukan tentera di bawah anda, menukar posisi mereka serta membina portfolio baru untuk tugas-tugas ketenteraan khusus atau yang lebih mencabar. Setiap ahli pasukan sentiasa bersedia untuk berpindah ke mana-mana bersama keluarga termasuk jika ditugaskan ke luar negara. Mereka tidak kisah kekerapan perpindahan dan juga betapa jauh lokasi baru yang ditetapkan.

Menarik bukan, jika anda benar-benar berada di posisi tersebut?

Gambaran di atas adalah contoh disiplin dan budaya kerja pasukan tentera. Tapi masalahnya, kita sedang bercakap dan berbicara berkenaan gerakan dakwah Islam.

Mungkinkah gerakan dakwah Islam mampu mencapai disiplin dan budaya kerja ideal seperti pasukan tentera?

Pada pandangan saya, kita pasti mampu jika mula menerapkan latihan dan budaya disiplin seumpama itu sedikit demi sedikit, sehingga mencapai tahap yang sempurna. Malah dengan disiplin hidup asas yang diajar Islam, besarnya agenda perjuangan yang kita bawa serta kuatnya ancaman musuh yang melanda, saya amat yakin dan percaya tahap prestasi gerakan dakwah yang kita pimpin mampu menjadi lebih baik dari apa yang berlaku dalam pasukan tentera.

Ya, jika kita mulakan dengan anjakan paradigma!

Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Kluster Tarbiah ISMA

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close