Berita Utama

REIT lapangan terbang cara terbaik jamin aset kerajaan

MRMA syor kerajaan ambil kira peningkatan apungan bebas percuma

KUALA LUMPUR, 4 Rabiulawal 1440H, Isnin – Cadangan dana pelaburan hartanah lapangan terbang (REIT) yang dumumkan di bawah Belanjawan 2019 merupakan cara paling baik bagi kerajaan untuk menjamin dan mengewangkan aset-aset infrastukturnya, kata Persatuan Pengurus REIT Malaysia (MRMA).

MRMA dalam satu kenyataan berkata, ia adalah satu cara yang strategik untuk membuka kunci nilai infrastruktur penerbangan negara dalam mewujudkan satu struktur yang berterusan bagi membiayai perbelanjaan modal lapangan terbang berkenaan termasuk mewujudkan kepentingan pasaran modal.

Menurut Pengerusi MRMA, Datuk Jeffrey Ng, dengan harga serta penilaian yang sesuai, tawaran awam permulaan (IPO) REIT Lapangan Terbang akan menjana minat daripada pelabur institusi dan runcit memandangkan REIT ini disokong oleh aset berkualiti tinggi yang dijamin kerajaan.

“Selaras dengan keutamaan bursa tempatan bagi menarik penyertaan asing yang lebih tinggi dalam pasaran modal tempatan, kami mencadangkan supaya kerajaan mengambil kira peningkatan apungan bebas percuma REIT lapangan terbang kepada lebih daripada 30 peratus kepentingan yang dicadangkan bagi meningkatkan kecairan REIT tersebut.

“Dengan apungan bebas yang lebih besar, IPO akan menarik minat yang besar daripada dana-dana antarabangsa,” katanya.

Selain itu, kejayaan REIT Lapangan Terbang yang dicadangkan adalah berasaskan kepada imbangan pertumbuhan potensi berbanding dengan perlingungan ke atas apa-apa risiko kerugian.

Katanya, memandangkan pendapatan boleh agih REIT Lapangan Terbang adalah berdasarkan kepada yuran pengguna yang dikutip daripada pemegang konsesi pengurusan lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), struktur pajakan REIT perlu mempunyai jaminan pendapatan yang minimum.

Ini akan melindungi risiko kerugian manakala pemegang-pemegang unit juga boleh menikmati pertumbuhan naik yuran pengguna yang diraih daripada pendapatan aeronautik dan bukan aeronautik, termasuk runcit bebas cukai, tawaran makanan dan minuman, pengurusan tempat letak kereta dan pengiklanan, katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close