Berita UtamaUtama

Kerajaan PH digesa percepat gubal Akta Dana Politik

Banyak sumbangan dana luar negara tidak diketahui matlamat mereka

BANGI, 1 Rabiulawal 1440H, Jumaat – “Isu dana politik di Malaysia sudah sampai tahap kritikal. Bukan sahaja parti politik menerima dana dari badan korporat yang akhirnya mengharap balasan projek, malah ada juga sumbangan dana dari luar negara yang tidak diketahui objektifnya.”

Serentak itu, Presiden Professional Muslim Community (PMC), Hazwan Mohamad meminta kerajaan tidak lagi bertangguh dan perlu serius serta mempercepatkan pelaksanakan Akta Dana Politik.

Katanya, pelaksanaan akta berkenaan, yang diamalkan Singapura sejak 2011 bukan sahaja dapat mengehadkan sumbangan individu kepada parti politik, malah dapat mencegah sebarang elemen asing mencampuri politik negara melalui pengaruh dana.

“Pada Julai lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memberi respon bahawa akta ini masih dalam kajian. Bagaimanapun, tiada kata putus lagi dari kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Hazwan turut mengulas mengenai tindakan ahli korporat yang juga taikun DAP, Koon Yew Yin yang secara terang-terangan mencemarkan institusi Diraja Perak baru-baru ini.

Beliau berkata, pengakuan dan tindak tanduk Yew Yin yang biadab jelas menunjukkan sumbangan ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada PH ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), seolah-olah mengharapkan balasan dilantik sebagai penasihat kerajaan negeri.

“Apabila mengetahui pelantikan beliau sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Perak dibatalkan, habis dituduhnya institusi Diraja Perak terlibat dalam penyingkiran itu. Malah turut menghentam Pengerusi DAP, Nga Kor Ming kerana tidak berani mempertahankan beliau,” katanya.

Mengulas lanjut Hazwan mengakui, sumbangan politik bukan sesuatu perkara asing, kerana pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dahulu juga mengakui menerima sumbangan dana dari ahli korporat.

“Namun, saya berpendapat, apabila kita memasuki era Malaysia baharu ini yang sering kali mengangkat slogan ketelusan, kita semua sudah tidak mahu lagi penyakit dari kerajaan lama masih lagi berlegar,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close