Berita UtamaUtama

Isma ulang pendirian tolak ratifikasi ICERD

Konvensyen antarabangsa bertentangan Perlembagaan, hak istimewa orang Melayu akan dihapuskan, kedudukan Islam terjejas: Aminuddin

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Rabiulawal 1440H, Jumaat – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana mengulangi pendirian tegas menolak hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, bantahan itu telah disuarakan Isma yang mewakili 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di dalam Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), dalam satu pertemuan tertutup bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, kelmarin.

Beliau berkata, penolakan itu jelas kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan negara, yang akan menghapuskan hak istimewa orang Melayu, selain menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Isma telah menyatakan pendirian tegas yang juga mewakili suara 300 NGO lain di dalam UMMAH menolak hasrat kerajaan untuk ratifikasi ICERD.

“Alhamdulillah, majoriti NGO yang hadir juga menolak ICERD dan pihak YB Menteri berjanji akan membawa pandangan-pandangan ini ke peringkat atas,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Selain beberapa NGO Islam, ahli akademik dan peguam, Aminuddin berkata, pertemuan itu turut dihadiri wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang berpendirian menyokong kerajaan meratifikasi konvensyen itu.

“Wakil Suhakam juga hadir untuk memberikan pandangan mereka menyokong kerajaan untuk meratifikasi ICERD ini.

“Suasana perbincangan berjalan dengan baik di mana setiap wakil NGO diberi ruang untuk bercakap dan memberikan pandangan,” katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pertemuan bersama Mujahid hanya bersifat sehala, malah menteri berkenaan berpendirian mendengar tanpa memberikan sebarang interaksi dua hala dalam perbincangan itu.

“YB Menteri mengambil pendirian untuk hanya mencatat tetapi tidak berdialog dengan NGO Islam yang membantah ICERD atau menyokongnya.

“Rumusannya ialah pertemuan malam tadi adalah input satu hala kepada YB Menteri sahaja, tanpa mendengar pandangan YB Menteri sendiri seperti dilapor media,” kata Zainul Rijal.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Untuk makluman, Artikel 5 (d) (vii) ICERD antara lain menyebut bahawa negara yang menandatangani konvensyen ini hendaklah menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak semua orang untuk kebebasan berfikir dan beragama.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close