Berita UtamaUtama

Isma gesa kerajaan ambil langkah serius satukan sistem pendidikan negara

Isu polarisasi kaum terus jadi ancaman kepada perpaduan di Malaysia

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 1 Rabiulawal 1440H, Jumaat – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, menggesa kerajaan Pakatan Harapan mengambil langkah serius ke arah menyatupadukan sistem pendidikan negara.

Amirnya, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kewujudan sekolah vernakular (SJK) di negara ini hanya menjadi penghalang kepada perpaduan rakyat perlu diambil serius.

“Kenyataan ini menunjukan bahawa isu polarisasi kaum terus menjadi ancaman kepada perpaduan kaum di Malaysia. Ia berpunca akibat tiada dasar integrasi nasional yang jelas menyebabkan wujud aliran sekolah yang pelbagai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Walhal katanya, sekolah vernakular pada asalnya diwujudkan atas asas kaum-kaum imigran ini akan kembali semula ke tanah air mereka.

Namun, selepas Tanah Melayu merdeka, kaum imigran memilih untuk menjadi warganegara Malaysia dan rakyat di bawah Raja-Raja Melayu.

“Maka, mereka sepatutnya bersedia untuk berasimilasi dalam negara yang berteraskan Islam dan kebudayaan Melayu. Pun begitu, setelah 61 tahun merdeka, kita hanya dapat melihat kegagalan pemimpin politik menyatukan rakyat. Mereka seakan-akan hidup dalam delusi dengan membenarkan sistem pendidikan pelbagai aliran,” katanya.

Beliau berkata, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan menambah jurang polarisasi kaum dan bakal mengancam keselamatan negara dalam tempoh terdekat.

“Atas alasan itu, kami juga menentang sebarang usaha mengikitiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Inilah kehendak rakyat majoriti yang sedar akan nasib negara pada masa akan datang.

“Jika kerajaan kekal dengan pendiriannya, pasti rakyat melihat kerajaan sebagai zalim kerana mendiskriminasi rakyat majoriti yang berjuang dalam sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close