Berita Utama

Pesawat Lion Air langgar tiang lampu

Insiden didakwa berpunca kerana kekeliruan panduan

BANGI, 30 Safar 1440H, Khamis – Penerbangan pesawat Lion Air, JT633 dari Bengkulu ke Jakarta terpaksa dibatalkan selepas sayap Boeing 737-900ER itu melanggar tiang lampu koordinat ketika berlepas, semalam.

Insiden itu berlaku dua minggu selepas nahas pesawat JT610 yang terhempas ke dalam laut di perairan Kerawang, Indonesia pada 28 Oktober lalu, sehingga mengorbankan semua 189 penumpang dan anak kapal.

Dalam kejadian jam 6.20 petang semalam (waktu tempatan), sayap kiri pesawat yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Fatmawati, Bengkulu telah melanggar tiang lampu koordinat ketika sedang menuju ke laluan keluar di landasan berkenaan.

Insiden itu menyebabkan sayap kiri pesawat berkenaan mengalami kesan lekuk, sekali gus menyebabkan penerbangan berkenaan dibatalkan atas faktor keselamatan.

Semua penumpang kemudiannya dipindahkan dengan pesawat Lion Air yang lain, dan berlepas pada pukul 10.48 malam dari Bengkulu. Pesawat itu selamat mendarat di Soekarno-Hatta, Tangerang pada 11.50 malam.

Jurucakap Komunikasi Korporat Strategik Lion Air, Danang Mandala Prihantoro berkata, insiden itu didakwa berpunca daripada kekeliruan panduan.

Katanya, pesawat itu dipandu berdasarkan panduan dan petunjuk daripada petugas Aircraft Movement Control (AMC), dan pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas petugas terbabit.

“Lion Air mohon maaf kepada semua penumpang atas kesulitan yang disebabkan oleh kejadian itu,” katanya.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close