Berita Utama

Pembentangan UPR tiada kaitan dengan ICERD

Saifuddin harap pembentangan Malaysia dapat keputusan positif

KUANTAN, 30 Safar 1440H, Khamis – Pembentangan Semakan Berkala Sejagat (UPR) oleh Malaysia yang berlangsung di Geneva, Switzerland malam ini, tidak berkaitan atau memberi kesan kepada proses meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, UPR adalah proses yang berlaku setiap empat tahun dan laporan yang dihantar kerajaan pada kali ini menerusi delegasi yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Ramlan Ibrahim adalah setakat Mac 2018.

“Selepas UPR, Kementerian Luar akan mengetuai jawatankuasa yang akan menyediakan laporan kemajuan tahunan yang bersifat dalaman untuk melihat sejauh mana kita mencapai kemajuan dalam usaha menegakkan hak asasi manusia, apa yang masih tertangguh dan apa yang perlu dilakukan.

“Ini bukan hanya untuk UPR, tetapi satu proses bagi memastikan Malaysia mempunyai rekod hak asasi yang lebih baik berbanding sebelum ini untuk kepentingan rakyat dan rekod Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

Saifuddin berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Bola Keranjang 3 Lawan 3 Piala Datuk Saifuddin Abdullah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tanah Putih di sini hari ini, yang melibatkan 103 pasukan dari Kuantan, Pekan, Temerloh dan Bera.

Beliau juga berpandangan mereka yang keliru dengan kesan UPR terhadap ICERD adalah mereka yang tidak mempunyai kefahaman mendalam tentang isu berkenaan, khususnya berkaitan ICERD.

“Sebab itu kita mengambil pendekatan berbincang dengan mereka seperti yang dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Muhajid Yusuf Rawa melibatkan NGO Muslim dan kita akan terus memberi penerangan kerana kita tiada jangka masa yang ditetapkan untuk meratifikasikannya,” katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata, beliau berharap pembentangan Malaysia pada UPR malam ini, akan mendapat keputusan positif ekoran beberapa pengumuman berkaitan hak asasi manusia yang dibuat oleh kerajaan baharu.

“Saya berharap akan mendapat komen yang positif daripada proses terdahulu kerana kerajaan kali ini lebih proaktif dalam menegakkan isu hak asasi manusia.

“Walaupun dasar baharu ini tidak ada dalam laporan rasmi,saya harap negara lain akan mengambil kira tentang pengumuman kerajaan pada hari ini semasa mereka mendengar pembentangan Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun bermula awal minggu ini akan membantu mengoptimumkan penggunaan infrastruktur termasuk landasan kereta api di negara ini.

Katanya, pakar pengangkutan dari Japan Railways (JR) Kyushu dan JR Freight sudah menyatakan persetujuan mereka untuk meningkatkan pengggunaan landasan kereta api dari utara ke selatan negara yang kini hanya digunakan sebanyak 30 peratus.

“Pada kebanyakan masa landasan itu tidak digunakan dan ini adalah satu yang merugikan… perdana menteri merasakan penggunaan landasan kereta api di Jepun yang hampir 24 jam adalah sesuatu yang boleh ditiru,” katanya. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close