Berita UtamaDunia

China enggan benar kajian baharu asal-usul COVID-19

WHO diminta guna maklumat laporan sedia ada, tak perlu kajian baharu

BEIJING, 5 Muharram 1443H, Sabtu – China menolak permintaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mahu melaksanakan kajian baharu mengenai asal-usul coronavirus.

Penolakan itu dibuat setelah WHO mendesak Beijing untuk berkongsi data mentah dari kes-kes COVID-19 terawal untuk melaksanakan semula kajiannya mengenai asal-usul penyakit virus tersebut.

Pada Januari 2021, pasukan pakar antarabangsa WHO telah pergi ke Wuhan untuk menghasilkan laporan fasa pertama, yang ditulis bersama dengan rakan-rakan mereka dari China, tetapi ia gagal menemui kedudukan yang tepat mengenai asal-usul virus tersebut.

Laporan WHO mengatakan bahawa virus yang melompat dari kelawar ke manusia melalui haiwan perantaraan adalah senario yang paling mungkin berlaku, dan spekulasi mengenai virus muncul dari makmal virologi Wuhan adalah mustahil.

Bagaimanapun, sebagai maklum balas kepada permintaan terbaharu WHO, China mengulangi pendiriannya bahawa kajian awal sudah cukup dan permintaan untuk data lebih lanjut didorong oleh agenda politik dan bukannya penyelidikan saintifik.

Wakil Menteri Luar China, Ma Zhaoxu menolak cadangan kajian baharu dan berkata: “Kesimpulan dan cadangan laporan bersama WHO dan China telah diakui oleh masyarakat antarabangsa dan komuniti saintifik.”

“Kerja pengesanan global di masa depan harus dan hanya dapat dilakukan lebih lanjut berdasarkan laporan ini, dan bukannya memulakan yang baru,” tambah pegawai China itu.

Teori penularan virus dari makmal China pada awalnya ditolak oleh pemerintahan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Sejak menjangkiti mangsa pertamanya di bandar Wuhan di China tengah pada akhir 2019, wabak ini merebak ke hampir semua negara di seluruh dunia, membunuh lebih daripada empat juta orang setakat ini.

China juga meminta AS untuk memberikan penjelasan penuh mengenai kegiatan bio-ketenteraannya di dalam dan luar negara, satu perkara yang dikhuatiri oleh Russia dan lain-lain. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button