Berita Utama

Kejayaan Mat Redho bukti kekuatan Melayu masih wujud

Anak muda perlu jadikan 'Ninja Malaysia' sebagai contoh: Muslim Zaik

BANGI, 30 Safar 1440H, Khamis – Kejayaan Mohd Redha Rozlan atau lebih dikenali sebagai Mat Redho, 30, dalam Liga Cabaran Ninja (NCL) 2018 di Perth, Australia baru-baru ini, membuktikan kekuatan anak muda Melayu masih wujud.

Mengagumi pencapaian ‘Ninja Malaysia’ itu, Exco Penerangan dan Kajian Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muslim Abdullah Zaik berkata, kejayaan Mat Redho menjadi cerminan kepada warisan kekuatan nenek moyang bangsa Melayu yang wajib dibanggakan.

“Pencapaian Mat Redho membuktikan kekuatan anak muda Melayu masih wujud warisan kekuatan nenek moyang Melayu.

“Saya yakin pencapaian beliau adalah hasil usaha gigih dan kerja keras yang sememangnya wujud dalam jati diri Melayu zaman berzaman, sekali gus membuktikan tohmahan bangsa kita malas dan hanya makan ‘bersuap’ adalah tidak benar,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Muslim berkata, pencapaian membanggakan itu wajar dijadikan contoh dan model kepada anak muda lain sebagai penanda aras bahawa asal-usul Melayu adalah bangsa yang sentiasa ke depan dan menonjol di mata dunia.

“Anak muda patut mencontohi kegigihan Mat Redho dalam mencipta nama dan kejayaan diri di peringkat antarabangsa. Mereka perlu bangga dengan kejayaan beliau berbanding atlet dari negara lain.

“Ia wajar dilihat sebagai asal susuk tubuh orang Melayu yang sentiasa ke hadapan dan menonjol berbanding orang lain dan bukti orang Melayu berdaya maju dan rajin,” katanya.

Beliau menegaskan, tidak wajar pihak tertentu mempersoalkan dan menuduh orang Melayu sebagai pemalas kerana terlalu mengharapkan subsidi kerajaan, sebaliknya melihat kembali sejarah bahawa bangsa Cina terlebih dahulu mendapat subsidi dan kelebihan daripada British.

“Seadilnya lihatlah sejarah bila mana bangsa Cina terlebih dahulu mendapat kelebihan dan subsidi daripada British, melalui pemberian tanah, lombong dan diberi peluang mendiami Tanah Melayu,” katanya.

Isnin lalu, tuah menyebelahi bekas juara Fear Factor Malaysia itu apabila menjuarai pentas akhir NCL 2018, walaupun baru pertama kali menyertai liga berkenaan.

Beliau yang layak menerima anugerah Last Man Standing itu merekodkan catatan masa terbaik 5 minit 13.09 saat (s) selepas melepasi semua halangan, sekali gus meninggalkan pesaing dari American Ninja Warrior, Jake Murray di tempat kedua manakala tempat ketiga milik Cameron D’Silva dari negara tuan rumah.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close